MUAN, Korea Selatan – Sebuah pesawat Jeju Air membawa 181 penumpang dari Thailand ke Korea Selatan yang merempuh penghadang dan terbakar menyebabkan kesemua penumpang, kecuali dua orang, dianggap telah meninggal dunia.
Pelanggaran dengan burung dan keadaan cuaca dinyatakan mungkin menjadi punca kemalangan oleh pihak berkuasa, menyebabkan penumpang terpelanting daripada pesawat yang ‘hampir musnah sepenuhnya’, menurut para anggota bomba.
Rakaman video menunjukkan pesawat Jeju Air dari Bangkok mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan dengan badannya menggelongsor di atas landasan dan aliran asap keluar daripada enjin sebelum merempoh dinding lalu terbakar.
“Penumpang tercampak daripada kapal terbang selepas ia berlanggar dengan dinding menyebabkan peluang mangsa untuk selamat adalah rendah,” kata seorang pegawai bomba kepada ahli keluarga pada satu taklimat, menurut kenyataan yang dikeluarkan jabatan bomba.
“Pesawat tersebut hampir musnah, dan untuk mengenalpasti mangsa adalah sukar. Proses ini mengambil masa ketika kami mencari dan menemui mayat,” katanya.
Hanya dua orang yang dapat diselamatkan, kedua-duanya pramugari, dan 120 orang disahkan meninggal dunia pada tengah hari tadi, kata kenyataan itu.
Seorang Jurugambar AFP melihat serpihan pesawat Boeing, B737-800 milik Jeju Air terbakar di landasan terbang Muan, yang terletak 288 kilometer barat daya Seoul, ketika anggota bomba dan kenderaan kecemasan berada di lokasi kejadian.
Nahas berlaku beberapa minit selepas jam 9.03 pagi semasa pesawat dengan nombor penerbangan 2216 melakukan pendaratan, kata Kementerian Tanah sambil menambah terdapat 175 penumpang, termasuk dua warga Thailand, dan enam anak kapal.
“Ia mengambil masa kira-kita tiga minit daripada menara kawalan memberi amaran tentang kehadiran burung dalam cubaan pesawat untuk mendarat di landasan sekali lagi,” katanya.
Dua minit sebelum kemalangan berlaku, juruterbang mengeluarkan amaran kecemasan, ‘Mayday’, tambahnya.
Ditanya jika kemalangan berlaku kerana landasan terlalu pendek, rakaman video menunjukkan pesawat terkeluar dari kawasan berturap (tarmac) dan merempuh dinding, pegawai tersebut berkata, ia mungkin bukan faktor nahas.
“Panjang landasan ialah 2,800 meter dan pesawat saiz sama telah beroperasi sebelum ini tanpa isu.
“Tidak mungkin kemalangan berlaku akibat panjang landasan” katanya.
Ketua Balai Bomba Muan, Lee Jeong-hyun semasa taklimat berkata, punca nahas ‘mungkin serangan seekor burung digabungkan dengan keadaan cuaca’.
“Bagaimanapun, faktor sebenar akan diumumkan susulan satu siasatan bersama,” kata Lee
Syarikat penerbangan tambang murah, Jeju Air memohon maaf di atas insiden tersebut dan berikrar akan melakukan segala yang mungkin.
Boeing dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu akan menghubungi Jeju Air dan ‘sedia menyokong mereka’.
Pemangku Presiden Korea Selatan, Choi Sang-mok, yang menjalankan tugas sejak Jumaat lalu mengadakan mesyuarat Kabinet tergempar bagi membincangkan operasi menyelamat sebelum menuju ke Muan, menurut pejabatnya.
Ia merupakan kemalangan yang membabitkan kematian pertama dalam sejarah Jeyu Air, salah sebuah syarikat penerbangan tambang murah terbesar Korea Selatan yang ditubuhkan pada 2005.
Pada 12 Ogos 2007, pesawat Bombardier Q400 Jeju Air yang membawa 74 penumpang tergelincir landasan akibat angin kencang di Lapangan Terbang Gimhae, Busan menyebabkan berpuluh-puluh orang cedera.
Terdapat beberapa kemalangan udara di seluruh dunia yang membabitkan serangan burung yang mana ia boleh menyebabkan kehilangan kuasa pada enjin jika haiwan tersebut tersedut dalam enjin. – AFP