PUTRAJAYA – Masyarakat normal dan sesetengah pihak berkuasa digesa menerima beberapa pandangan dan idea dari kalangan orang pekak di negara ini.
Penasihat Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Mohamad Sazali Shaari berkata, untuk itu masyarakat normal perlulah terlebih dahulu memahami serta menyelami kehidupan golongan orang pekak.
Jelasnya, dari situ mereka akan lebih memahami keperluan golongan orang pekak termasuk dari segi pekerjaan, meningkatkan pengetahuan agama dan sebagainya.
”Kami golongan orang pekak di negara ini adalah minoriti. Seperti juga orang normal, kami juga memerlukan kesamarataan termasuk dari segi keperluan pekerjaan, meningkatkan ilmu agama dan banyak lagi.
”Kami juga mempunyai pandangan dan idea. Harapan kami agar pandangan dan idea-idea ini dapat diterima.
”Ia secara langsung akan meletakkan kami diterima dalam dalam masyarakat di Malaysia,” katanya ketika diwawancara pada program Capacity Building Workshop 2.0 di sini.
Program dari 26 hingga 29 Disember itu dianjurkan oleh MFD dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Persekutuan Global Deaf Muslim (GDMF) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Memberi contoh ringkas, Mohamad Sazali berkata, antara keperluan bagi orang pekak ialah meningkatkan pengetahuan dan mempelajari al-Quran.
Beliau memberitahu, sekian lama orang pekak mahu mempelajari al-Quran dengan cara yang tepat dan betul termasuk bacaan tajwid.
”Dalam hal ini, kami memerlukan aplikasi yang sesuai selain disertakan jurubahasa isyarat yang benar-benar mahir, juga guru agama yang bertauliah,” katanya.
Sambil merujuk kepada usaha Liajlehum Association of Disability sebuah pertubuhan berpangkalan di Arab Saudi yang kini dalam proses menyiapkan sepenuhnya aplikasi percuma membaca al-Quran dengan diselitkan video jurubahasa isyarat, Mohamad Sazali berkata, ia merupakan langkah awal untuk komuniti orang pekak meningkatkan pengetahuan mengenai al-Quran.
”MFD juga berharap, kelak ada pihak di Malaysia yang mengambil langkah sama,” katanya.
Beliau seterusnya memberi contoh ringkas terutama semasa khutbah Jumaat apabila jemaah orang pekak juga memerlukan intipati mengenai khutbah tersebut.
”Harapan MFD, kelak penggunaan jurubahasa isyarat dapat diperluaskan di masjid-masjid sama ada ketika khutbah Jumaat atau ceramah agama kerana kami mahu menimba ilmu seperti juga masyarakat normal,” katanya. – MalaysiaGazette