Dua remaja perempuan berusia 15 tahun disaman oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika Ops Khas Motosikal 2024 yang dijalankan Jalan Tanah Putih, dekat Kuantan malam tadi.

KUANTAN – Walaupun tiada lesen, dua remaja perempuan berusia 15 tahun nekad menunggang motosikal milik ayah dan kakak mereka gara-gara mahu melihat bunga api sempena sambutan tahun baharu 2025 di sini malam tadi.

Bagaimanapun kedua-dua mereka yang menunggang motosikal LC 135 dan Y15 telah dikenakan saman dalam Ops Khas Motosikal 2024 di bandar Kuantan malam tadi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Pahang (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, mereka ditahan ketika operasi yang dilakukan di Jalan Tanah Putih dalam perjalanan ke Menara 188 Kuantan.

”Kesalahan lain motosikal tiada cermin sisi dan ⁠gagal pamer nombor pendaftaran hadapan dan belakang. Motosikal mereka disita bersama motosikal pesalah jalan raya lain.” katanya di sini malam tadi.

Ujar Syed Ahmad, dalam operasi yang sama, pihaknya mengeluarkan 555 notis saman melibatkan pelbagai kesalahan dengan 131 notis kesalahan melibatkan lesen memandu.

Operasi malam tadi juga merekodkan sebanyak 103 kesalahan melibatkan cukai jalan tamat tempoh.

Sebanyak 2,741 kenderaan yang diperiksa dan daripada jumlah itu 388 telah diambil tindakan sepanjang tiga jam setengah  operasi dilaksanakan.

Selain di Kuantan, Ops Khas Motosikal 2024 diadakan di Jengka, Karak, Temerloh dan Muadzam Shah.

Sementara itu, beliau berkata, pengguna sering menggunakan alasan lupa membawa lesen dan  gagal memperbaharuinya dalam operasi malam tadi.

Namun pihaknya tetap mengenakan tindakan mengeluarkan notis saman kerana kebanyakan mereka membiarkan lesen memandu tamat tempoh dalam masa yang lama sedangkan ia perlu diperbaharui  dengan menyemak tarikh tamat lesen mengikut tarikh lahir.

Operasi berkenaan melibatkan 184 penguat kuasa termasuk 169 pegawai anggota JPJ dan lapan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik (JSPT) Kuantan serta tujuh anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN :

 

Op Khas Motosikal 2024 : JPJ keluar 134,718 notis dalam tempoh dua bulan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast