Reaksi Perwakilan Pemuda UMNO ketika mendengar perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO Siswa memberi isyarat bersedia meneruskan gerak kerja pilihan raya selepas membuktikan keupayaan menggerakkan jentera mahasiswa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Pembahas ucapan dasar Presiden, Muhammad Hattim Iqbal Ghazali berkata, UMNO Siswa bukan sekadar aktif di kampus, malah sudah turun ke lapangan bagi mendekati pengundi mahasiswa.

“Kita turun bukan untuk mencari nama. Kita turun kerana kita mahu bekerja,” katanya demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC di sini hari ini.

Menurut Muhammad Hattim, dalam PRN Johor, UMNO Siswa menjadi jentera hadapan dan menerusi pusat panggilan, membantu menghubungi 11,266 pengundi mahasiswa.

Katanya, gerak kerja sama turut dilaksanakan di Negeri Sembilan dengan 3,842 pengundi mahasiswa dihubungi menerusi pusat panggilan.

Selain itu, UMNO Siswa turut turun ke lapangan melalui program Speaker Corner dan Jelajah GenZ Bersama BN di seluruh Negeri Sembilan bagi mendekati golongan muda.

Muhammad Hattim berkata, pengalaman itu menjadi asas kepada persediaan UMNO Siswa menghadapi PRN Melaka dan seterusnya Pilihan Raya Umum (PRU).

“Johor mengajar kita tentang disiplin. Negeri Sembilan mengajar kita tentang keberanian turun ke lapangan. Dan pengalaman itu akan kita bawa ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata UMNO Siswa melihat penyertaan mahasiswa dalam gerak kerja politik sebagai satu bentuk tanggungjawab apabila generasi muda diberikan kepercayaan.

“Apabila anak muda diberi kepercayaan, anak muda mesti membalasnya dengan kerja,” katanya.

Muhammad Hattim turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan UMNO, jentera negeri dan bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri serta sukarelawan yang memberi ruang kepada mahasiswa untuk bersama-sama melaksanakan gerak kerja pilihan raya.

Katanya, UMNO Siswa akan terus memperkukuh peranan anak muda dalam parti dengan membawa pengalaman di lapangan kembali ke negeri, bahagian dan kampus.

“Kita bukan sekadar pewaris perjuangan. Kita ialah penyambung perjuangan,” katanya.

Muhammad Hattim berkata, apa juga cabaran politik yang bakal dihadapi, UMNO Siswa bersedia memainkan peranan dan memastikan kepercayaan yang diberikan kepada golongan mahasiswa diterjemahkan melalui kerja di lapangan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here