KUALA LUMPUR – UMNO mesti berani mengambil peranan utama mengetuai usaha penyatuan orang Melayu dengan mengetepikan perbezaan politik, namun tetap berpegang pada prinsip dan Perlembagaan Persekutuan.
Pembahas ucapan dasar Presiden, Muhammad Hattim Iqbal Ghazali berkata, orang Melayu sudah terlalu lama mahukan penyatuan dan tiba masanya UMNO mencari titik persamaan demi masa depan bangsa.
“Orang Melayu sudah terlalu lama mendambakan penyatuan. Sudah tiba masanya kita berhenti membesarkan perbezaan dan mula bersama. Saya percaya, UMNO mesti berani mengetuai penyatuan orang Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC di sini pagi ini.
Bagaimanapun, Muhammad Hattim menegaskan penyatuan itu mesti berasaskan prinsip, termasuk mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu, keluhuran Perlembagaan dan prinsip Raja Berperlembagaan.
Katanya, sebarang keputusan yang dibuat melalui proses perlembagaan yang sah perlu dihormati dan tidak wajar dipertikaikan hanya kerana kepentingan politik.
“Apa jua keputusan yang dibuat melalui proses perlembagaan yang sah, kita hormati. Kerana mempertahankan Raja juga bererti mempertahankan Perlembagaan,” katanya.
Menurutnya, penyatuan tidak boleh dibina atas kebencian atau permusuhan, sebaliknya perlu digerakkan dengan keberanian, kebijaksanaan dan prinsip.
Beliau berkata, UMNO juga perlu menjadi parti yang tidak takut kepada perubahan, berani mendengar suara rakyat dan berani melakukan perubahan untuk kekal relevan.
“Kita mahu UMNO yang tidak takut kepada perubahan. UMNO yang berani mendengar. UMNO yang berani berubah. Dan UMNO yang berani memimpin,” ujarnya.
Muhammad Hattim berkata, perjuangan UMNO tidak sepatutnya berakhir selepas Perhimpunan Agung UMNO, sebaliknya perlu diteruskan di peringkat negeri, bahagian, kampus dan bersama rakyat.
Katanya, generasi muda juga perlu diberi ruang untuk memainkan peranan dalam menentukan masa depan parti dan negara. – MalaysiaGazette
















