KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memutuskan aktivis politik, Iswardy Morni bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi video tiga tahun lalu.
Hakim Datuk M.M. Edwin Paramjothy memutuskan demikian selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui tahap keraguan munasabah terhadapnya.
Bagaimanapun mahkamah menangguhkan prosiding kepada 23 Januari tahun depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap Iswardy.
Semakan menerusi laman Facebook Iswardy Morni Utama miliknya menyatakan, tertuduh berjawatan Ketua Cabang PKR Petrajaya, Kuching, Sarawak untuk sesi 2022-2025.
Pada 4 Oktober lalu, Edwin memerintahkan aktivis itu membela diri terhadap pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Sebanyak sembilan saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 3 Januari 2022.
Iswardy hadir sebagai saksi tunggal dalam pembelaannya.
Tertuduh didakwa mengeluarkan kenyataan melalui Facebook miliknya Iswardy Morni Official menerusi video dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Video secara langsung itu turut mendapat tontonan sehingga 38,645 orang.
Kesalahan dilakukan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pada 3 petang pada 29 Mei 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim manakala peguam Faizal Rahman mewakili Iswardy. – MalaysiaGazette