JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengeluarkan 706 Notis JPJ (P)22 atas pelbagai kesalahan sepanjang tujuh hari Ops Khas Gempur Teknikal.
Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, jumlah notis itu dikeluarkan hasil pemeriksaan 3,480 kenderaan perdagangan sepanjang operasi khas itu yang bermula 25 Disember lalu di seluruh negeri.
“Antara notis paling banyak dikeluarkan adalah kesalahan teknikal seperti lampu dan ekzos sebanyak 93 notis, lebih muatan dengan 90 notis serta tiada lesen vokasional sebanyak 73 notis.
“Selain itu sebanyak 428 kenderaan diambil tindakan dan lima kenderaan disita.
“Notis turut dikeluarkan atas kesalahan tidak menjaga tayar dengan baik atau haus berlebihan sebanyak 53 notis, tiada LKM atau tamat tempoh dengan 50 notis serta cermin gelap 45 notis.
“Antara kesalahan lain yang dikesan termasuk ubah suai kenderaan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tayar tidak mengikut spesifikasi, lampu pembalik merah, cermin retak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, operasi khas itu dijalankan berikutan pihaknya dalam usaha memastikan tahap pematuhan peraturan keselamatan jalan raya lebih tinggi bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.
Katanya, operasi khas itu memfokuskan kepada pengesanan dan penilaian pematuhan syarat-syarat dan peraturan keselamatan serta kenderaan dipandu dengan selamat ke atas kenderaan perdagangan dengan mengambil tindakan tegas berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan kaedah-kaedah di bawahnya.
“Melalui analisis data-data Ops Khas ini, kita mendapati tahap kesedaran kepada pematuhan peraturan kesalahan jalan raya masih berada pada skala rendah dalam tempoh tujuh hari penguatkuasaan dijalankan,” ujarnya.
Pihaknya memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pemilik dan mana-mana pemandu yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan.
“Penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna,” jelasnya.- MalaysiaGazette
















