KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas melecur pada tangan dan kepala selepas stor sebuah rumah teres dua tingkat terbakar di Jalan Jasmin 25, Taman Jasmin, Kajang, Selangor pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada jam 10.12 pagi, pihaknya mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang ke lokasi.
“Kebakaran dipercayai bermula di bahagian stor sebuah rumah kelas A berkeluasan 20X40 kaki yang menyimpan barangan kitar semula dan anggaran kemusnahan adalah sekitar 40 peratus.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya sebelum merebak ke bahagian lain rumah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kejadian itu melibatkan dua mangsa dan mangsa pertama ialah seorang lelaki berusia 83 tahun mengalami kecederaan tahap satu pada tangan dan kepala, manakala mangsa kedua tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelasnya, mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.
Operasi melibatkan sembilan anggota dengan satu jentera dan sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), ujar beliau.
Tambahnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan orang ramai diingatkan untuk sentiasa memastikan barangan mudah terbakar disimpan dengan selamat bagi mengelakkan kejadian seumpama berlaku. – MalaysiaGazette