Syed Lutfan Syed Lokman

KUALA LUMPUR – Beberapa siri kucing yang ditemui mati dalam kampus Universiti Malaya (UM), di sini, menimbulkan rasa resah dan kebimbangan dalam kalangan penuntut di universiti itu.

Malah, ada dalam kalangan mereka khususnya pelajar baharu menzahirkan perasaan takut dan tidak selamat ekoran kejadian sama berulang dalam tempoh yang singkat.

Rata-rata penuntut yang ditemui MalaysiaGazette menyatakan, meskipun kejadian yang berlaku melibatkan haiwan namun, mereka khuatir perkara sama boleh mengancam nyawa manusia pula.

Mereka menolak kematian kucing di universiti itu disebabkan perbuatan anjing liar, kerana berdasarkan gambar-gambar yang tular jelas menunjukkan ia seperti angkara manusia.

Seorang pelajar persediaan ke Jepun bagi program Sains Komputer, Syed Lutfan Syed Lokman, 20, berkata, dia bimbang terhadap ancaman yang mungkin boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sekiranya tindakan secara serius tidak diambil dengan segera.

Katanya, perkara seperti itu tidak boleh dipandang remeh dan sesuatu perlu dilakukan agar pelakunya dihadap kemuka pengadilan sekaligus, menghentikan ancaman yang dialami.

“Bagi saya pihak univesiti kena ambil tindakan lebih keras terhadap orang-orang yang menganiaya binatang khususnya kucing ini.

“Sekarang ini isunya bukan sahaja mengancam nyawa kucing tetapi, juga keselamatan terhadap pelajar-pelajar yang tinggal di UM ini juga.

“Kita orang rasa risau dan takut, mungkin hari ini kucing tapi mungkin akan datang boleh ancam nyawa orang pula. Kami kini jadi takutlah,” katanya.

Syed Lutfan Syed lokman

Syed Lutfan turut berpendapat, sikap menganiaya haiwan seperti mana yang berlaku dalam beberapa siri kematian kucing di UM ketika ini mungkin angkara individu yang mengalami masalah mental (psikologi).

Rakannya, Muhammad Azriz Danial Ahmad Rizal, 19, turut mempunyai pandangan sama apabila merasakan kematian tragis beberapa ekor kucing yang dihebohkan telah menyebabkan dia dan beberapa lagi rakannya merasa ketakutan.

Katasnya, pihak yang berkenaan khususnya university dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melakukan sesuatu agar kejadian seumpama itu tidak melarat.

“Ada yang saya dengar kata punca kematian kucing ini adalah kerana anjing tapi, ada juga yang kata angkara perbuatan orang.

“Saya pun risau jugalah sebab perkara ini mungkin boleh jadi lebih teruk. Kita tak tau orang itu macam mana, kalau sekarang ini binatang mungkin juga lepas ini kepada orang,” ujarnya.

Muhammad Azriz Danial Ahmad Rizal

Katanya, meskipun kejadian yang berlaku bukanlah berhampiran dengan kolej kediaman ataupun fakulti pengajiannya, namun disebabkan ia berlaku di dalam kawasan kampus, ia sudah pasti menimbulkan rasa resah dan gelisah dalam kalangan warga universiti itu sendiri.

Pelajar Asasi Sains, Hazirah Hamdan,19, pula berkata, dia tidak menyangka kucing terbiar yang ditemui di kawasan fakulti pengajiannya beberapa hari lalu mati dalam keadaan yang sangat menyedihkan.

Menceritakan mengenai perkara itu, Hazirah memberitahu, dia menemui kucing itu di tingkat dua bangunan Pusat Asasi Sains selepas tamat kelas.

Katanya, ketika hendak turun tangga dia dan beberapa lagi rakannya yang hendak pulang ke kolej kediaman terserempak dengan kucing tersebut yang dilhat terlalu comel.

“Kita orang bila nampak kucing tu kami saja usap-usap dan ambil gambarnya saja-saja.

“Tapi, saya tak sangka pula bila ada orang bagitahu melalui Instagram kucing yang kami temui itu telah mati dengan keadaan menyayat hati,” ujarnya.

Hazirah Hamdan

Hazirah berpendapat, punca kejadian seperti itu boleh berlaku di dalam kampus UM mungkin disebabkan faktor kawalan keselamatan yang agak longgar ekoran kawasan universiti boleh dimasuki oleh sesiapa sahaja dan tidak diketahai sama ada kematian kucing-kucing itu dilakukan oleh orang luar ataupun sebaliknya.

Sementara itu, Ahmad Aliff Haikal Mohd Sanusi, 21, berkata, dia menyedari kawasan universiti itu sememangnya banyak kucing terbiar dan tidak dipelihara oleh sesiapa pun.

Pelajar jurusan farmasi itu tidak menafikan ada juga kucing yang mempunyai tuannya, namun lebih banyak yang terbiar.

“Kita tak pasti pelaku (pembunuh) kucing itu sama ada dia ada masalah mental ke atau macam mana.

“Cuma saya rasa perkara ini boleh berlaku kepada manusia juga kalau dia boleh lakukannya kepada haiwan.

“Saya rasa agak risau dan bimbang juga dengan hal yang macam ini. Walaupun macam yang diketahui polis kata ia dilakukan oleh anjing tapi saya rasa mungkin pelakunya orang yang hadapi masalah psikologi,” katanya.

Ahmad Aliff Haikal Mohd Sanusi

Tinjauan mendapati, hanya seekor dua sahaja kucing ditemui di dalam kawasan UM hari ini.

Berdasarkan maklumat sumber, sejak beberapa hari lalu susulan kekecohan penemuan kucing yang ditemui mati, terdapat pasukan yang terdiri dalam kalangan penuntut sendiri telah menangkap kucing-kucing terbiar di universiti itu dan ditempatkan di satu kawasan yang selamat.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan dimanakah kucing-kucing liar berkenaan diletakkan termasuk di bawah jagaan oleh pihak mana.

Kelihatan seekor kucing jalanan ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 5 JANUARI 2025.

Semalam, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood memaklumkan, seekor lagi kucing dilaporkan mati akibat diratah sekumpulan anjing liar di kawasan parkir universiti berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan kematian empat daripada lima kucing yang bangkainya ditemukan di UM, disahkan bukan berpunca daripada perbuatan khianat manusia.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob dipetik berkata, hasil bedah siasat dijalankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mendapati punca kematian disebabkan gigitan haiwan dipercayai anjing liar.

Sebelum itu, polis menerima lima laporan berhubung penemuan bangkai kucing berkenaan pada 17 Disember sehingga Jumaat lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here