KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas terlibat dalam penyalahgunaan dadah yang dikesan di Taman Desa Majid, Kota Bharu, Kelantan pada Ahad lalu.
Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam kenyataan berkata, tangkapan dan rampasan dijalankan oleh sepasukan anggota Batalion 8 PGA pada pukul 9.30 malam.
“Rampasan dilakukan selepas melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan semasa melakukan rondaan dalam Op Taring SKY Kelantan.
“Hasil siasatan mendapati, terdapat 400 biji pil Epam bernilai RM6,000 ditemui di dalam poket seluar suspek,” katanya dalam kenyataan.
Tambah PGA, pihak berkuasa turut menyerbu rumah tidak bernombor di Jalan Kedai Lalat Pulau Melaka, Kota Bharu dan menemui 960 biji Pil Epam bernilai RM 14,400 di rumah berkenaan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek dan barang rampasan telah dibawa ke IPD Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan yang sama. -MalaysiaGazette