KUALA LUMPUR – Seramai 44 individu terdiri dalam kalangan warga emas dan mereka pada usia persaraan kerugian kira-kira RM1,095,307 akibat terpedaya dengan program pelaburan emas disyaki tidak wujud dan tidak berdaftar secara sah.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sindiket itu rata-ratanya menyasarkan golongan wanita yang ingin mencari pendapatan sampingan.
“Individu ini telah mempromosikan pelaburan emas dengan menggunakan sosial media Telegram dan telah beroperasi sejak tiga tahun lalu (2021) dan mula tidak membayar pelaburan kepada peserta pada 2023.
“Peserta yang menyertai pelaburan emas ini merupakan golongan berumur, hendak mencapai umur pencen. Dengan menyertai pelaburan itu, mereka dapat menjana pendapatan tambahan setelah mereka pencen kelak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Hishamuddin, kebanyakan mangsa sanggup mengeluarkan wang simpanan dengan harapan untuk membuat pendapatan sampingan.
“Namun begitu apa yang telah berlaku, wang mereka ini disyaki telah lesap diambil oleh individu yang tidak bertanggungjawab tersebut,” katanya.
Kebanyakan 44 individu tertarik kepada skim pelaburan emas itu kerana syarikat sindiket itu memiliki kedai barang kemas untuk meyakinkan orang ramai.
Selain itu, katanya, ramai tertarik menyertai skim tersebut kerana sindiket menawarkan harga emas jauh lebih murah dari harga pasaran seredah RM170 segram.
“Mangsa percaya diskaun itu benar-benar wujud malah potongan harga itu pula tak masuk akal, tanpa menyedari mereka menyertai satu skim pelaburan kerana mereka percaya beli emas pada kadar diskaun dan boleh tebus pada masa tertentu.
“Kita syak mereka telah diperdaya, ditipu dan berlaku perkara yang melibatkan pecah amanah,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya menggesa mangsa untuk membuat laporan polis supaya dalang sindiket ini dapat diambil tindakan tegas.
“Pihak polis telah membuka kertas siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, bahkan sudah ada pendakwaan di Mahkamah Shah Alam.
“Kita berharap pendedahan itu dapat membuka mata pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan menyeluruh terhadap dalang dalam program pelaburan emas tidak wujud ini,” katanya.
Di samping itu, katanya, pihaknya akan membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) supaya siasatan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 dapat dibuka.
“Mereka perlu dikenakan hukuman jika sabit kesalahan di bawah Akta Skim Kepentingan. Kita juga akan bawa perkara ini kepada Bank Negara Malaysia (BNM) apabila perkara itu mempunyai elemen memungut wang tanpa lesen.
“Kita meminta BNM, polis dan SSM untuk juga melihat jika ada unsur penyalahgunaan wang haram supaya siasatan di bawah Seksyen 4(1)AMLA turut dapat dibuka supaya dalang sindiket ini diambil tindakan dan memberi keadilan kepada mangsa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette