KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan supaya penganjuran Havoc Food Festival dihentikan serta merta hari ini.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, arahan dikeluarkan susulan penganjurannya tidak mendapat lesen hiburan selain menerima pelbagai aduan berlaku kesesakan lalu lintas.
“Saya juga dimaklumkan bahawa permohonan penganjur untuk memohon lesen bagi mengadakan festival tersebut telah ditolak sebanyak dua kali atas sebab permohonan lewat dan aduan daripada penduduk setempat mengenai halangan lalu lintas,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu Nik Nazmi berkata, pihaknya menerusi Pejabat Parlimen Setiawangsa menerima pelbagai aduan berkaitan penganjuran Havoc Food Festival yang diadakan sejak 9 Januari lalu.
Festival yang diadakan di tempat letak kereta Sama Square Setapak itu sepatutnya berakhir esok.
Sehubungan itu, Nik Nazmi mengingatkan penganjur festival tersebut tidak mengulangi kesalahan yang sama.
“Dan perlu mengambil maklum situasi penduduk setempat sebelum menganjurkan apa-apa acara yang boleh mengganggu orang awam,” tambahnya.- MalaysiaGazette