Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpun UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa, Datuk Seri Anwar Ibrahim `kantoikan’ dirinya sendiri dengan mengeluarkan kenyataan bercanggah kononnya beliau yang mencadangkan Datuk Seri Najib Tun Razak diberikan tahanan rumah.

Veteran UMNO itu berkata, Anwar mengaku beliau yang membawa isu Najib ke Lembaga Pengampunan dan kenyataan itu secara automatik menafikan dakwaan kononnya titah adendum dicadangkan di luar mesyuarat lembaga.

“Maka dengan sendiri ternafilah kononnya titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 dibuat luar mesyuarat. Nampaknya YDPA ke-16 dapat ilham daripada nasihat PM dalam mesyuarat lembaga.

“Jika benar Perdana Menteri yang mencadangkan tahanan rumah dan YDPA ke-16 memperkenankannya secara hitam putih, kenapa sudah setahun tak laksana sehingga DSN terpaksa berhempas pulas di mahkamah?” ujar beliau dalam hantaran Facebooknya hari ini.

Menurut Annuar, naratif Perdana Menteri yang marahkan rakyat dan parti yang bersolidariti dengan Najib secara tak langsung memberi gambaran beliau tidak senang dengan gerakan tersebut.

“Tidakah ini `self contradict’ dengan dakwaan seolah-olah beliau yang membela DSN?” ujar beliau.

Dalam kenyataannya, Annuar turut mempertikaikan mengapa Perdana Menteri tidak membuat kenyataan di Parlimen, sebaliknya mengeluarkannya di Pulau Pinang.

“Di Parlimen katanya subjudice, di Pulau Pinang, tidak subjudice? Kes masih di mahkamah. Tindakan ini membuka lebih banyak persoalan dari memberi jawapan,” ujarnya.

Annuar selanjutnya mendakwa, Perdana Menteri sejak awal mengetahui titah itu wujud dan ia sebenarnya bukan adendum.

Menurut Annuar, titah itu merupakan keputusan prerogative baginda dan tambahan kepada catatan sebelumnya.

“Ia dibuat dalam masa keputusan baginda di embargo (tentunya ada kebijaksanaan baginda menitahkan keputusan mesyuarat di embargo dulu). Adakah patut PM sendiri meragui nasihatnya?

“Sekarang diberitahu surat titah itu ada di Istana Negara. Tidakkah ini menimbulkan tanda tanya? Apakah PM cuba menyatakan Istana Negara yang menghalang pelaksanaannya? Bukankah sangat tidak wajar diheret begitu?” tegas Annuar.

Ujar beliau, tentunya titah YDPA terdahulu muktamad dan tidak tertakluk kepada perkenan Seri Paduka yang baharu dan pasti akan membuka perbahasan pakar undang undang.

Dalam hantaran itu, Annuar turut mempertikai apa pendirian bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung isu titah adendum dan dimana DAP yang dilihat berdiam diri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here