PHNOM PENH- Seorang lelaki Kemboja berusia 28 tahun meninggal dunia akibat jangkitan virus selsema burung, Jumaat lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan, mangsa dari wilayah Kampong Cham disahkan positif H5N1 selepas masak dan memakan enam ekor ayam yang sakit.
“Pesakit berada dalam keadaan kritikal dengan mengalami demam, batuk serta kesukaran bernafas sebelum meninggal dunia pada Jumaat,” kata kementerian itu dalam kenyataan.
Untuk rekod, sekurang-kurangnya tiga orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan dua tahun meninggal dunia akibat selsema burung di negara itu pada 2023 manakala seorang kanak-kanak lelaki sembilan tahun menjadi korban virusi tersebut tahun lepas.
Selsema burung atau avian influenza A (H5NI) mula dikenal pasti pada 1996.
Julai lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa keupayaan badan itu untuk menguruskan risiko virus selsema burung terhadap manusia adalah sukar disebabkan pemantauan yang tidak tegas.
Sehubungan itu, WHO menggesa semua negara untuk meningkatkan pemantauan terhadap influenza dilaporkannya sama ada ia berlaku kepada haiwan atau pun manusia.
Negara-negara terbabit juga diminta untuk berkongsi sampel dan urutan genetik.
Menurut Kementerian Kesihatan Kemboja, mangsa terbaharu itu menternak ayam tersebut di rumahnya dan memasak enam ekor ayam yang sakit untuk dimakan.
Katanya, pegawai-pegawai kesihatan sedang menyiasat sumber virus berkenaan dan mencari kawasan yang disyaki berlaku dalam komuniti.
Ia juga menggesa semua rakyat untuk terus berjaga-jaga kerana “selsema burung H5N1 kekal menjadi ancaman kepada kesihatan orang ramai.”- AFP