Muktamar Pas akan diadakan di Shah Alam, Selangor bulan depan.

ARTIKEL oleh seorang pemerhati politik, Bridget Welsh baru-baru ini yang menyimpulkan kedudukan Perikatan Nasional (PN) semakin lemah dalam politik negara mengundang banyak perdebatan.

Artikel bertajuk Malaysia’s Weakened Opposition yang disiarkan di laman web Welsh pada 13 Disember 2024 itu cenderung menonjolkan kelemahan Perikatan Nasional (PN) yang digambarkan sebagai pembangkang yang tidak kuat.

Bagaimanapun, bagi pemerhati politik tempatan, Muhammad Ehsan Shaari, artikel itu menyajikan pandangan yang berat sebelah dan tanpa kajian yang menyeluruh khususnya mengenai Pas.

Kepada MalaysiaGazette, beliau yang juga Pegawai Penyelidik, Yayasan Kedah Sejahtera berkongsi pandangan lebih objektif yang menunjukkan Pas sebenarnya berusaha memperjuangkan agenda rakyat, memartabatkan prinsip Islam dan memastikan kestabilan politik negara.

Muhammad Ehsan Shaari

MalaysiaGazette: Adakah benar tanggapan Pas merupakan liabiliti kepada PN?

Muhammad Ehsan: Sebenarnya Pas merupakan parti komponen paling kukuh dalam PN. Malah Pas telah berjaya mengekalkan dan mengukuhkan sokongan di kawasan tradisi Melayu-Islam terutamanya di Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, Pas juga berjaya meningkatkan jumlah kerusi di Pahang dan Perak secara signifikan.

Jika dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), perolehan kerusi Pas meningkat secara drastik. Fakta ini menyangkal dakwaan Welsh yang menyatakan bahawa pembangkang telah kehilangan momentum.

Kekalahan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri tidak boleh dijadikan ‘indikator’ kemerosotan sokongan terhadap Pas dan PN. Ia hanyalah sebahagian kecil daripada gambaran keseluruhan prestasi politik Pas.

Pas juga berusaha memperkukuhkan kebajikan rakyat di empat negeri iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu melalui inisiatif SG4 (State Government 4).

Inisiatif ini memberi peluang kepada keempat-empat negeri itu meningkatkan hasil negeri masing-masing.

Contohnya, negeri Kedah berjaya menarik pelabur melalui program E10, yang mempercepatkan proses kelulusan permit pembinaan.

Kejayaan ini membuktikan bahawa Pas bukanlah pembangkang yang lemah malah mampu mentadbir dengan cekap.

MalaysiaGazette: Bagaimana dengan dakwaan perbezaan dalaman akan terus melemahkan PN?

Muhammad Ehsan: Perbezaan dalaman dalam PN adalah perkara biasa bagi sebuah gabungan pelbagai parti politik. Ini tidak bermaksud perpecahan seperti yang dinyatakan oleh Welsh.

Sebagai parti utama dalam PN, Pas memainkan peranan besar dalam memastikan kestabilan gabungan ini. Dalam masa yang sama, Pas konsisten membawa agenda rakyat dan terus berusaha memperkukuhkan kerjasama dalam PN.

Perlu juga untuk diperhatikan, pembangkang sering menjadi mangsa permainan politik.

Sebagai contoh, tindakan yang dilakukan oleh Pas sering dikaitkan dengan isu 3R (Race, Religion, Royalty) termasuk kes melibatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan Sultan Selangor.

Proses undang-undang terhadap Muhammad Sanusi dilihat bergerak terlalu pantas kerana beliau adalah pemimpin pembangkang.

Sebaliknya, isu 3R yang melibatkan Pakatan Harapan (PH) sering kali dilambatkan prosesnya.

Hal ini menampakkan bahawa pembangkang menjadi mangsa politik Kerajaan Madani.

MalaysiaGazette: Bagaimana dengan kenyataan Pas tidak mempunyai fokus nasional?

Muhammad Ehsan: Dakwaan Welsh bahawa Pas tidak mempunyai fokus nasional adalah tidak berasas. Di Dewan Rakyat, ahli-ahli Parlimen Pas secara konsisten membawa isu-isu rakyat, termasuk cadangan penambahbaikan Belanjawan 2025.

Walaupun perbahasan ahli-ahli Parlimen pembangkang sering diabaikan oleh media, kualiti perbahasan mereka tetap tinggi.

Malangnya, naratif politik PH yang ingin menggambarkan PN sebagai pembangkang yang tidak berkualiti terus mendominasi liputan media.

MalaysiaGazette: Welsh terlalu memuji pentadbiran PH, adakah ia sesuatu yang berasas?

Muhammad Ehsan: Kelemahan sebenar terletak pada prestasi Kabinet PH. Sebagai contoh, Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya gagal memasukkan elemen Islam dalam perancangan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ini menunjukkan kegagalan memahami kepelbagaian agama dan budaya, serta Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Garis Panduan Tatakelola yang diperkenalkan oleh PH pada tahun lepas juga dilanggar apabila Ketua Setiausaha Negara (KSN) dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tenaga.

Tindakan ini mencerminkan ketidakpatuhan PH terhadap prinsip tatakelola yang mereka sendiri gubal.

MalaysiaGazette: Apa yang boleh disimpulkan daripada pandangan Welsh itu?

Muhammad Ehsan: Bagi saya, gambaran yang dinyatakan oleh Bridget Welsh dalam artikelnya adalah tidak tepat dan berat sebelah.

Sebagai seorang penganalisis politik bebas, Welsh sepatutnya mengambil kira perspektif Pas dan PN agar analisisnya lebih seimbang.

Kejayaan negeri-negeri di bawah pentadbiran Pas, walaupun ditekan oleh Kerajaan Persekutuan, membuktikan kecekapan mereka dalam menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat.

Perbincangan politik seharusnya lebih matang dan adil, dengan memahami landskap politik Malaysia secara menyeluruh.

Analisis yang hanya bergantung kepada media berat sebelah tidak mencerminkan realiti politik sebenar dan hanya menyumbang kepada polarisasi politik negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here