KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki Indonesia yang dilaporkan terjatuh ke dalam sungai di Seksyen 5, Taman Indah Jaya, Bandar Baru Bangi, Selangor kelmarin ditemukan terapung hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mayat mangsa ditemui selepas 48 jam pencarian dilakukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sejauh 18 kilometer dari lokasi asal.
Katanya, mayat lelaki berusia 23 tahun itu berjaya dibawa naik ke darat pada jam 9.35 malam tadi oleh sepasukan anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA).
“Waris mangsa telah membuat pengesahan bahawa mangsa yang dijumpai adalah ahli keluarga mereka yang dilaporkan jatuh ke dalam sungai, kelmarin.
“Mayat mangsa dikenali sebagai Fauzan merupakan warga Indonesia itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Wan Md Razali memberitahu, mangsa terjatuh ke dalam sungai ketika melakukan aktiviti menjala bersama rakannya.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 9.38 malam Isnin lalu sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dikejarkan ke lokasi terbabit.
Katanya, pencarian mangsa segera dilakukan dengan pelbagai teknik seperti surface water rescue termasuk selaman di tempat mangsa dilaporkan terjatuh.
Ia termasuk pencarian permukaan di tebing sungai serta menggunakan khidmat anjing pengesan malah dibantu oleh pihak Rescur Bencana Malaysia dengan menggunakan dron. – MalaysiaGazette