KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang pengarah syarikat kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta.
Suapan tersebut adalah sebagai balasan untuk memberikan kerja-kerja sebagai subkontraktor berhubung tender Perkhidmatan Membekal Makanan dan Minuman kepada para pekerja berjumlah kira-kira RM900 juta.
Perintah reman selama lima hari sehingga 20 Januari ini dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Ogos 2023 dan wang rasuah dikesan dipindahkan ke akaun milik syarikat suspek.
“Suspek juga disyaki mengaku sebagai kontraktor utama bagi tender pembekalan makanan dan minuman selama lima tahun kepada pekerja di sebuah loji penapisan minyak sedangkan pembekalan tersebut tidak wujud.
“Pada masa yang sama, suspek yang turut menyamar sebagai Datuk ini mempunyai rekod jenayah melampau membabitkan kes penipuan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette