LOS ANGELES – Kebakaran hutan yang marak merentasi kawasan Los Angeles di California Selatan Amerika Syarikat telah membunuh sekurang-kurangnya 27 orang dan memusnahkan lebih 12,300 bangunan dalam tempoh lebih seminggu.
Anggota bomba terus melakukan pemadaman dua kebakaran hutan besar di Los Angeles ketika angin reda di kawasan tersebut.
Kebakaran Palisades, salah satu kebakaran hutan aktif terbesar di rantau Los Angeles, telah menghanguskan 23,713 ekar (95.96 km persegi) setakat ini.
Pihak berkuasa berkata, kebakaran, yang berlaku sejak 7 Januari lalu hanya berjaya dikawal sebanyak 22 peratus, meningkat daripada 17 peratus sehari sebelumnya.
“Keadaan cuaca kembali normal mengikut musim, dan kebakaran dijangka kekal dalam perimeter semasa tanpa dijangka perluasan tambahan,” kata Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (Cal Fire).
“Anggota gigih mencari dan memadamkan titik panas serta membina garisan untuk mengehadkan kerosakan struktur dalam kawasan yang masih berisiko,” kata Cal Fire.
Satu lagi kebakaran aktif, Eaton Fire, telah menghanguskan 14,117 ekar (57.1 km persegi) berhampiran Altadena dan Pasadena.
Usaha membendung api melonjak kepada 55 peratus, meningkat daripada 45 peratus sehari sebelumnya.
Angin semalaman dan awal pagi yang lebih tenang mengurangkan kebakaran merebak membolehkan anggota bomba membuat kemajuan yang baik dalam mengawal api, menurut Cal Fire.
Tetapi agensi itu menegaskan, angin Santa Ana yang kembali pada Isnin, keadaan kebakaran kritikal meluas masih wujud di bahagian California Selatan.
“Minggu depan adalah membimbangkan. Walaupun yakin kita tidak akan melihat kebakaran minggu lepas berulang tetapi keadaan cuaca kebakaran berbahaya tetap dijangka,” kata Cal Fire. – Agensi