PELBAGAI usaha telah dibuat oleh kerajaan untuk memperbaiki mata Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang diperoleh setiap tahun daripada Transparency International (TI) yang berpangkalan di Berlin, Jerman.
CPI merupakan satu indeks yang digunakan untuk mengukur persepsi rasuah dalam sektor awam di negara-negara seluruh dunia.
Sejak CPI diperkenalkan pada 1995, Malaysia berada di kedudukan ke-23 daripada 41 negara yang dikaji.
Dengan penambahan bilangan negara yang dikaji, prestasi Malaysia selama beberapa tahun terakhir mencatatkan skor yang cenderung berada sekitar 45-50.
Pada tahun 2023 Malaysia mendapat skor 50 mata berada di tempat ke 57 daripada 180 negara. Ini adalah skor yang terbaik sejak 2021.
Akan tetapi, tahukah anda bahawa indeks persepsi rasuah ini sebenarnya tidak mengukur kejadian rasuah dan tidak hanya tertumpu kepada aspek rasuah?
Metodologi bagaimana sesebuah negara ditentukan kedudukannya dalam “global ranking” mungkin akan mengejutkan ramai kerana ia melibatkan pelbagai faktor lain yang lebih luas seperti tadbir urus, ketelusan, kebebasan bersuara, akses kepada maklumat awam, serta mekanisme kebertanggungjawaban kerajaan.
Secara terperincinya terdapat sembilan sumber data yang biasa digunakan oleh TI untuk mengira CPI iaitu World Bank’s Worldwide Governance Indicators (WGI), Economist Intelligence Unit (EIU) Country Risk Service, World Economic Forum (WEF) Executive Opinion Survey, Global Insight Business Conditions and Risk Indicators, Bertelsmann Stiftung Transformation Index (BTI), African Development Bank’s Governance Ratings, IMD World Competitiveness Yearbook, PERC Asia Risk Guide, dan Varieties of Democracy (V-Dem) Project.
Sumber-sumber ini menyediakan data yang mencerminkan pendapat pakar mengenai persepsi rasuah dalam sektor awam, yang digabungkan untuk membentuk skor CPI bagi setiap negara.
Bagi tujuan pengumpulan data, TI telah menggunakan berbagai sumber yang mencerminkan persepsi korupsi di sektor awam sesebuah negara. Apa yang diukur ialah “persepsi”, bukannya kejadian.
Antara sumber-sumber yang digunakan ialah survei pendapat di mana respondennya diminta untuk memberikan pandangan mereka mengenai tahap rasuah; laporan penilaian dari badan-badan antarabangsa dan organisasi yang menyediakan maklumat tentang rasuah dan tahap integriti; laporan daripada institusi penilaian risiko yang menganalisis data dan maklumat berkaitan rasuah; data dari sumber maklumat awam seperti media, badan-badan kerajaan dan organisasi-organisasi lain yang mendedahkan isu-isu rasuah serta maklumat dari pakar dan kumpulan bukan kerajaan yang mempunyai pengetahuan tentang rasuah.
Selain itu, terdapat 11 aspek yang diambilkira oleh CPI yang mana rasuah adalah hanya salah satu daripadanya. Aspek-aspek lain adalah pengalihan dana awam, hukuman ke atas pegawai yang menggunakan jawatan awam untuk kepentingan peribadi, kemampuan kerajaan untuk mengawal rasuah dan menjalankan mekanisme integriti yang berkesan dalam sektor awam, birokrasi yang berlebihan yang boleh meningkatkan peluang untuk rasuah, pelantikan berdasarkan nepotisme berbanding meritokrasi dalam perkhidmatan awam, pendakwaan jenayah yang berkesan untuk pegawai rasuah, undang-undang yang mencukupi berkaitan pendedahan kewangan dan pencegahan konflik kepentingan untuk pegawai awam, perlindungan undang-undang bagi pemberi maklumat, wartawan, penyiasat apabila mereka melaporkan kes suapan dan rasuah, pengambilalihan negara oleh kepentingan sempit, dan akses masyarakat sivil kepada maklumat mengenai hal ehwal awam.
Jika diteliti semua aspek yang diambilkira oleh CPI, dapatlah difahami bahawa indeks ini bukanlah semata-mata tentang rasuah tetapi mencakupi hal berkaitan tata kelola baik (good governance).
Tambahan pula kerangka undang-undang berkaitan antirasuah di Malaysia adalah komprehensif yang mencakupi pelbagai aspek bagi menangani jenayah rasuah bukan saja di peringkat pentadbiran awam tetapi juga di peringkat pentadbiran badan bukan kerajaan dan korporat.
Perlu dijelaskan di sini bahawa strategi yang digunapakai sebelum ini adalah kurang tepat kerana meletakkan tanggungjawab ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja.
SPRM secara bersendirian tidak mungkin dapat melonjakkan skor CPI. Dari sisi yang lain SPRM sebenarnya telah melaksanakan tugas dengan baik dan sudah sampai ke tahap yang maksimum.
Tugas selanjutnya perlu dipikul oleh kementerian dan pelbagai agensi kerajaan yang lain. Usaha untuk meningkatkan skor CPI adalah suatu yang realistik dan boleh dicapai.
Justeru usaha ini perlu diteruskan tanpa ragu-ragu dengan kerjasama semua pihak. Dengan kerjasama semua pihak peluang kita untuk mencapai kedudukan 25 terbaik dalam tempoh 10 tahun dalam carta CPI sebagaimana yang dihasratkan oleh kerajaan.
Prof. Madya Dr. Abd Hakim Mohad
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Teras
Universiti Sains Islam Malaysia