Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menyampaikan ucaptama forum bertajuk Hidup Untuk Memimpin: Perjalanan Ketua Hakim di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya, Kuala Lumpur hari ini. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 JANUARI 2025

KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat buat pertama kalinya hari ini berkongsi kisah percintaan yang menarik di sebalik kehidupan seorang hakim yang penuh kerahsiaan, privasi dan tidak boleh menonjol sisi sosialnya.

Tengku Maimun yang akan bersara pada tahun ini secara berseloroh berkata, tiada yang menarik tentang lelaki yang berjaya mencuri hatinya ketika mereka bersama-sama belajar di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM).

Beliau yang mencipta sejarah menjadi wanita pertama dilantik Ketua Hakim Negara memberitahu, suaminya, Datuk Zamani Ibrahim adalah lelaki yang konsisten menunjuk kesungguhan memikat hatinya.

“Tiada apa yang menarik tentang kami dari kelas yang sama tetapi saya boleh katakan dia sangat konsisten.

“Walaupun cintanya pernah ditolak, dia tidak pernah putus asa dan mencuba lagi.

“Selepas tamat belajar tahun 1982, kami berkahwin dan saya rasa diberkati kerana beliau suami yang baik dan di mana saya berada hari ini kerana sokongan kuat beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk Hidup Untuk Memimpin: Perjalanan Ketua Hakim di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya di sini hari ini.

Tengku Maimun turut mengakui sebagai wanita berkarier, beliau berdepan cabaran getir kerana perlu bijak mengimbangi tugas profesional dan kerja di rumah

“Saya bertuah ada suami yang ringkas dan tidak pernah desak menyediakan makanan kegemarannya,” katanya.

Baru-baru ini, Tengku Maimun mengumumkan bakal bersara pada tahun ini selepas hampir enam tahun berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara.

Beliau dilantik menjadi menjadi Ketua Hakim Negara wanita yang pertama menggantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 April 2019.

Pelantikan itu berkuatkuasa pada 2 Mei 2019. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here