KUANTAN – Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam nahas membabitkan dua buah kenderaan di kilometer 164.7, Lebuhraya Pantai Timur awal pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi.
Katanya, kejadian melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dinaiki enam individu dengan sebuah lori treler.
“Komander operasi melaporkan pemandu lori treler itu selamat, manakala pemandu dan empat penumpang MPV yang didapati mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS).
“Dilaporkan juga salah seorang penumpang MPV iaitu kanak-kanak lelaki didapati tersepit,” katanya dalam kenyataan.
Berikutan itu, Zulfadli memberitahu, pihaknya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat namun, telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – MalaysiaGazette