Syarikat pengeluar 'sandwic ham & cheese' dibawa untuk didakwa ke Mahkamah Petaling Jaya susulan dakwaan penemuan produk diragui status halal di kedai serbanekanya di Universiti Malaya (UM). Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 JANUARI 2025

PETALING JAYA – Tindakan seorang pengarah syarikat menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf pihak berkuasa dan menyalahguna cap dagang berdaftar di kedai serbaneka KK Mart cawangan Universiti Malaya (UM) memakan diri apabila dia didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Pengarah Urusan , Shake & Bake Cafe, Ewe Sarn Yeun, 65, didakwa dengan 14 pertuduhan melibatkan sejumlah 356 sandwich pelbagai perisa rentetan video tular kontroversi yang menjual sandwic ‘ham & cheese’, dua minggu lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh dan Noor Ruzilawati Mohd. Nor.

Bagi enam pertuduhan pertama, Sarn Yeun didakwa menawarkan untuk membekalkan 366 produk makanan sandwic membabitkan enam perisa yang diperihalkan dengan menggunakan logo halal Malaysia untuk menunjukkan makanan itu boleh dimakan orang Islam dengan cara bertentangan dengan Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Ia membabitkan 50 Mixed Tuna Sandwic; 43 Mixed Potato Sandwic; 77 Mixed Chicken Sandwic; 74 Egg Mayo Sandwic; 66 Ham & Cheese Sandwic dan 56 Chili Crabstick Sandwic.

Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh yang berstatus Pemastautin Tetap (PR) Amerika Syarikat di Shake and Bake Cafe Sdn. Bhd.di Sunway Damansara, di sini pada pukul 12.50 tengah hari, pada 10 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 8(b) perintah yang sama yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8(B) Perintah yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, syarikat Shake and Bake Cafe Sdn. Bhd. yang dimiliki Sarn Yeun
turut didakwa atas enam pertuduhan sama di lokasi, tarikh dan waktu sama mengikut Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Syarikat itu tidak mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dibuat mengikut Perenggan 8(b) perintah yang sama yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8(A) perintah yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM200,000 jika sabit kesalahan.

Syarikat pengeluar ‘sandwic ham & cheese’ dibawa untuk didakwa ke Mahkamah Petaling Jaya susulan dakwaan penemuan produk diragui status halal di kedai serbanekanya di Universiti Malaya (UM). Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 JANUARI 2025

Bagi dua lagi pertuduhan, Sarn Yeun dan syarikatnya tidak mengaku bersalah atas masing-masing satu pertuduhan menggunakan cap dagangan berdaftar iaitu logo halal Malaysia yang salah pada 366 bungkusan sandwic di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Oleh itu, lelaki itu dan syarikatnya didakwa mengikut Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815) dan dengan itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) akta sama yang boleh dihukum Seksyen 102(1)(i) dan Seksyen 102(1)(ii) akta sama bagi pengarahnya.

Bagi Seksyen 102 (1)(i) akta berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 manakala Seksyen 102 (1)(ii) akta itu memperuntukkan denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan cap dagang berdaftar itu secara salah, atau penjara tidak lebih tiga atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shafiq Mahadi dan Hakiim Izani manakala tertuduh dan syarikat itu diwakili peguam Hamdan Hamzah dan Azura Mokhtar.

Mahkamah kemudian membenarkan Sarn Yeun dan syarikat Shake And Bake Cafe diikat jamin sebanyak RM130,000 bagi kesemua pertuduhan dengan penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan tarikh 5 Mac ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada 13 Januari lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk makanan ‘ham dan cheese’ yang dijual di sebuah kedai serbaneka di UM didapati tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM)

Jakim dalam satu kenyataan berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati syarikat yang menghasilkan produk tersebut bukan pemegang SPHM.

Kata Jakim, pemeriksaan terhadap produk itu dilakukan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 10 Januari lalu. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here