KUALA LUMPUR – Jabatan Syariah dan Pengurusan (JSP) Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dengan kerjasama Universiti Malaya Halal Research Centre (UMHRC) telah menganjurkan sebuah program yang dinamai Kursus Halal Eksekutif, baru-baru ini.
Program ini bukan sahaja bertujuan untuk memberikan pengetahuan dan kemahiran teknikal berkaitan pengurusan industri halal kepada peserta, tetapi secara tidak langsung juga bertujuan untuk menyokong Dasar Halal Negara 2035.
Kursus Halal Eksekutif ini merupakan program komprehensif bersijil yang dirancang untuk melahirkan individu profesional yang berkelayakan untuk bekerja sebagai eksekutif halal dan dalam pelbagai jawatan lain yang berkaitan dengan industri halal.
Ini adalah kali pertama program ini diadakan, dan ia melibatkan tajaan bernilai RM50,000.00 dari Affin Islamic Bank melalui pengagihan zakat. Kerjasama ini jelas menunjukkan komitmen pihak korporat dalam membangunkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing.
Program ini juga bertujuan membantu pelajar asnaf daripada golongan berpendapatan rendah (B40) untuk mendapatkan kemahiran baharu dan menambah pengetahuan sebagai persediaan sebelum tamat pengajian.
Selain itu, meningkatkan kebolehpasaran graduan JSP, khususnya mereka yang berhasrat untuk berkecimpung dalam industri halal.
Modul disediakan di bawah Majlis Profesional Halal (HPB), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kursus ini disertai 50 orang peserta termasuk 42 orang mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan Muamalat dan lapan dari Sarjana Pengurusan Halal dari Jabatan Syariah dan Pengurusan, APIUM.
Dengan penglibatan mahasiswa ini, program ini diharapkan dapat memberikan impak yang besar dalam membentuk generasi yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang halal. – MalaysiaGazette