KOTA TINGGI – Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dalam longkang semasa mahu mengambil selipar di Taman Kota Jaya, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 3 petang dalam keadaan hujan lebat.
“Ketika kejadian, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu dikatakan hendak mengambil selipar terjatuh ke dalam longkang itu yang dipercayai ketika itu air deras serta dalam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pencarian kanak-kanak itu masih dijalankan oleh pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Shawaluddin Amin Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 3.28 petang.
“Seramai sembilan anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Fire Response Vehicle (FRV) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih lagi dilakukan sehingga kini,” ujarnya. – MalaysiaGazette