Bangunan Bursa Malaysia Berhad di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai, zakat dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM310.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY2024).

Ia meningkat 22.9 peratus berbanding RM252.4 juta pada tahun sebelumnya.

Pengawal selia utama pasaran modal Malaysia itu berkata, peningkatan PATAMI disokong oleh prestasi kukuh pasaran sekuriti dan derivatif serta perniagaan data, yang menyumbang kepada kenaikan hasil operasi sebanyak 27.8 peratus kepada RM757.7 juta berbanding RM592.8 juta pada FY2023.

Jumlah perbelanjaan operasi turut meningkat 26.8 peratus kepada RM373.4 juta, berbanding RM294.5 juta pada tahun sebelumnya, berikutan kenaikan kos kakitangan, penyelenggaraan, yuran perkhidmatan IT serta pembalikan peruntukan pada FY2023.

Lembaga pengarahnya telah meluluskan dividen akhir sebanyak 18 sen sesaham untuk FY2024, termasuk dividen khas sebanyak 8.0 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi tahun kewangan berkenaan sebanyak 36 sen sesaham.

Ini mewakili pembayaran keseluruhan sekitar RM210.4 juta bersamaan nisbah pembayaran 93.9 peratus.

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pasaran modal ekuiti Malaysia menunjukkan prestasi cemerlang pada 2024, dengan indeks penanda aras FBM KLCI melonjak 12.9 peratus, menjadikan Bursa Malaysia salah satu pasaran terbaik di ASEAN.

“Prestasi ini menyumbang kepada nilai permodalan pasaran melebihi RM2.0 trilion buat kali pertama pada Mei 2024. Bursa Malaysia juga mencatatkan rekod sebagai peneraju penyenaraian awam permulaan (IPO) di ASEAN, dengan 55 penyenaraian baharu mengumpulkan RM7.4 bilion menyumbang kepada nilai permodalan pasaran IPO sebanyak RM31.4 bilion.

“Angka ini membuktikan keyakinan syarikat dan pelabur terhadap Bursa sebagai platform pengumpulan dana yang dipercayai. Walaupun berdepan cabaran global, ekonomi Malaysia kekal kukuh dengan sokongan rangka kerja Ekonomi MADANI kerajaan, dengan kadar pertumbuhan KDNK diunjurkan antara 4.5 hingga 5.5 peratus pada 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil dagangan pasaran sekuriti meningkat 43.1 peratus kepada RM381.5 juta pada FY2024 berbanding RM266.6 juta pada tahun sebelumnya, didorong oleh peningkatan nilai dagangan purata harian (ADV) untuk dagangan atas pasaran (OMT) dan perniagaan langsung (DBT).

Selain itu, halatuju dagangan meningkat kepada 39 peratus berbanding 29 peratus pada FY2023 sementara tambahan tiga hari dagangan pada FY2024 turut menyumbang kepada peningkatan hasil dagangan.

Pasaran derivatif juga mencatatkan pertumbuhan ketara dengan hasil dagangan meningkat 27 peratus kepada RM113.8 juta berbanding RM89.6 juta pada FY2023, disokong oleh peningkatan volum kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) dan niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FKLI).

Hasil operasi pasaran Islam meningkat 4.9 peratus kepada RM17.9 juta pada FY2024 berbanding RM17.1 juta sebelumnya didorong oleh hasil perniagaan baharu Bursa Gold Dinar. Bagaimanapun, hasil dagangan Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) mencatatkan sedikit penurunan kepada RM16.9 juta berbanding RM17.1 juta pada FY2023.

Dalam segmen perniagaan data, hasil meningkat 15.1 peratus kepada RM78.3 juta, dipacu oleh pertambahan bilangan pelanggan.

Bursa Malaysia komited untuk terus memperkukuhkan ekosistem BSAS dan meningkatkan pengalaman pelanggan bagi peserta tempatan serta antarabangsa.

Dengan prestasi kukuh ini, Bursa Malaysia dijangka terus menjadi peneraju dalam pasaran modal, disokong oleh daya tahan ekonomi negara dan keyakinan pelabur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here