SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor enggan berkompromi terhadap mana-mana kenderaan berat termasuklah lori dan bas yang didapati tidak mematuhi standard yang ditetapkan.
Ini termasuklah isu yang sering menjadi igauan masyarakat umum iaitu penggunaan tayar uzur atau tayar celup sehingga membahayakan nyawa di jalan raya.
Menurut Ketua Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, sejak ‘Op Mengejut Puspakom’ seluruh negara hujung tahun lalu, statistik berada dalam keadaan terkawal pada masa ini.
“JPJ Selangor pastinya titik beratkan isu pemeriksaan tayar pada semua kenderaan berat, tidak kira musim perayaan atau sebaliknya. Sejurus selepas kenderaan berat seperti lori, bas membuat pemeriksaan di di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), kita akan buat pemeriksaan untuk kali kedua.
“Kita akan periksa semula tayar, brek, semua lampu kenderaan berfungsi baik, pembalik cahaya, dokumen kenderaan, lesen pembawa dan lain-lain dokumen sekali lagi. Jika ada yang tidak ikut spesifikasi, kita gagalkan kenderaan dan diarah kembali ke Puspakom.
“Kita tidak akan benarkan kenderaan-kenderaan ini berada di jalan raya sehingga semuanya ikut aturan,” katanya selepas ‘Operasi Khas Tahun Baru Cina dan Kempen Keselamatan Jalan Raya’ di Terminal Bas Seksyen 17 di sini malam tadi.
Operasi ini sudah bermula sejak 20 Januari lepas dan akan berakhir pada 9 Februari.
Dalam pada itu, kata Azrin, mengikut statistik operasi terminal bas JPJ di Selangor sejak 1 Januari hingga 27 Januari, sebanyak 1,701 bas telah diperiksa dan tindakan tegas telah diambil untuk 25 kenderaan yang telah melakukan 34 jenis kesalahan secara keseluruhan.
“Antara kesalahan termasuklah tiada pemandu kedua, memandu dilorong kanan secara berterusan, cermin retak, tayar haus dan lain-lain kesalahan.
“Sebanyak 34 notis telah dikeluarkan untuk semua kesalahan ini,” katanya. -MalaysiaGazette