KUALA LUMPUR – Pelaksanaan kad akses untuk program perumahan rakyat (PPR) akan diteruskan untuk memastikan kutipan sewa yang mencukupi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, keadaan itu juga dapat memastikan kemudahan PPR dijaga dan diselenggara dengan baik.
Beliau berkata, terdapat penghuni melanggan perkhidmatan TV yang berharga RM178 sebulan, tetapi tidak mahu membayar sewa berharga RM124.
“Oleh itu, mereka bukannya tidak berkemampuan, tetapi tidak mahu membayar,” katanya kepada China Press.
Kor Ming berkata, daripada 19,200 penghuni PPR di Johor, hanya 45 peratus yang membayar sewa atau yuran penyelenggaraan sebelum ini.
“Apabila kad akses dilaksanakan, peratusan penghuni yang membayar telah melonjak kepada 90 peratus,” katanya.
Beliau berkata, PPR baharu akan melaksanakan sistem kad akses, manakala PPR sedia ada akan melaksanakannya selepas menukar lif baharu.
“Kementerian memperuntuk RM185 juta untuk 358 projek penyelenggaraan PPR dan kami mahu menukar lebih 100 buah lif yang ada.
“Semua lif ini akan mempunyai sistem kad akses,” katanya.
Menurutnya, penghuni perlu menggunakan kad akses untuk melepasi pondok pengawal dan juga menggunakan lif ke aras mereka
“Jika tidak membayar yuran penyelenggaraan sebanyak tiga bulan, maka kad akses tidak akan berfungsi,” katanya.