KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming tidak sesuai untuk mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Al-Khattab berikutan kenyataan terbaharunya berkaitan isu penjualan arak di kawasan majoriti Islam.
Sebaliknya menurut Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, Kor Ming lebih sesuai untuk menjadikan Joseph Stalin sebagai ikutan kerana pemimpin Parti Komunis Kesatuan Soviet itu mengalakkan rakyatnya meminum arak.
Ketua Penerangan Pas itu turut menyarankan kepada Kor Ming untuk mengambil sikap berdiam diri jika tidak memahami hasrat berkaitan polisi menghadkan jualan arak di tempat majoriti muslim.
“Kalau mahu pro kepada penjualan arak di lokasi majoriti muslim, tidak perlulah umum mahu contohi Khalifah Umar Al-Khattab, sama sekali tak sesuai.
“Menteri lebih sesuai isytiharkan Joseph Stalin sebagai idola. Stalin memang dikenali sebagai pemimpin diktator yang diketahui menggalakkan rakyatnya minum arak.
“Dia dikatakan mempromosikan vodka sebagai simbol nasional dan sumber pendapatan negara melalui cukai alkohol,” kata Fadhli.
Kor Ming sebelum ini berkata, kementerian komited untuk mencapai kecemerlangan pada tahun ini melalui penerapan konsep nilai Greater HEIGHTS.
Konsep itu, katanya, menekankan elemen penting seperti integriti, mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Al-Khattab dan Khalifah Umar Abdul Aziz dalam pentadbiran serta semangat kerja keras dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu semalam menyarankan pihak berkuasa tempatan mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penjualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.
Kor Ming berkata, ketetapan berkenaan bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum selain mengelak dijadikan sentimen politik.
Media sebelum ini melaporkan, Majlis Bandaraya Ipoh bercadang unuk memperluaskan larangan penjualan arak atau minuman keras secara runcit dan borong di kawasan dengan majoriti penduduk Melayu beragama Islam di pentadbirannya.-MalaysiaGazette