KUALA LUMPUR – Pas mencabar Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu agar menyenaraikan sebelas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang diyakini menang pada pilihan raya akan datang.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari membuat cabaran itu selepas Mohamad menyampaikan ucapan penggulungan Konvensyen Nasional Amanah pada Sabtu lalu bahawa parti itu mampu memenangi berbelas kerusi di Kelantan.
“Satu keyakinan yang bagus, cumanya kalau boleh nak minta abang Mad namakan paling minimum sebelas kerusi (angka paling minimum untuk jumlah berbelas) yang menjadi sasaran untuk dimenangi oleh Parti Amanah.
“Tidak banyak, sebelas sahaja dulu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Mohamad berkata, tidak mustahil untuk Amanah memenangi belasan kerusi DUN Kelantan sekiranya kerajaan ketika ini dalam keadaan baik, selain pengaruh Amanah yang didakwa makin berkembang dalam kalangan orang Melayu.
“Memang sukar nak hadapi parti lawan yang memerintah negeri (Kelantan). Tapi saya yakin pilihan raya akan datang kalau perpaduan kita baik, kita akan menang berbelas kerusi di Kelantan
“Saya akui tanggapan (Amanah tak dapat tarik undi orang Melayu) itu dan memang kita tahu pada orang Melayu ini, UMNO dan Pas saja ada dalam pemikiran mereka.
“Tapi kita yakin, kita sedang berkembang, di mana keahlian kita bertambah setiap bulan dan saya akui ia berkembang tidak sehebat parti lawan, tapi ia sedang berkembang dan sekarang ini penerimaan rakyat terhadap kami di Kelantan juga agak memberangsangkan,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) lalu, Amanah berjaya memenangi satu kerusi DUN di Kelantan iaitu DUN Kota Lama yang merupakan kerusi tradisi Pas.
Amanah menerusi Dr Hafidzah Mustakim, menang apabila mendapat undian 9,695, manakala calon Pas, Datuk Zamri Ismail pula memperoleh 9,489 undi dengan majoriti 206. – MalaysiaGazette