MELAKA – Bayangkan apabila dapat menikmati panorama Selat Melaka dari balkoni hotel serba mewah selain hamparan bukit pasir memutih di pinggir pantai Klebang.
Apa yang terhidang di depan mata adalah sang suria dan bulan yang menemani siang dan malam, desiran ombak sambil sesekali menyaksikan puluhan kapal dari serata dunia berlabuh di tengah-tengah laut.
Itulah yang boleh dinikmati jika menginap di Birkin International Hotel – hotel bertaraf lima bintang yang menjanjikan penginapan mewah taraf dunia yang terbaharu di Melaka – dilancarkan baru-baru ini.
Pengurus besarnya, Simon Tan berkata, pembangunan hotel mewah 526 bilik dengan kos pembangunan kasar RM500 juta oleh YeaShin International Development Co. Ltd. dari Taiwan melalui anak syarikatnya, YeaShin Construction Sdn. Bhd adalah yang pertama di Malaysia.
“Ia menjadi mercu tanda kecanggihan dan kemampanan, untuk menawarkan pengalaman menginap yang tiada tandingannya untuk pengembara di serata dunia.
“Birkin International Hotel mentakrifkan semula seni hospitaliti, menggabungkan kecanggihan bertaraf dunia dengan komitmen terhadap tanggungjawab alam sekitar dan sosial,” katanya ketika pelancaran hotel berkenaan pada minggu lalu.
Menurutnya, pihak hotel juga komited terhadap kemampanan dengan mengutamakan inisiatif seperti sistem pengurusan udara dan bau canggih, sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) pintar serata penghasilan air menggunakan osmosis berbalik bagi memastikan standard kecekapan sumber yang tertinggi.
“Selain itu, stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) hotel dan kiosk daftar masuk sendiri juga mengukuhkan lagi dedikasi kami terhadap inovasi yang mementingkan alam sekitar.
“Malah dalam pengurusan sisa, kami mengambil langkah berani dengan program pengkomposan, mengurangkan pergantungan pada plastik sekali pakai dan inisiatif bank makanan yang menyokong komuniti setempat,” katanya lagi.
Tambah Simon, hotel berkenaan menyediakan tujuh jenis penginapan merangkumi Deluxe Suite, Deluxe Premier Suite, Deluxe Seaview Suite, Family Suite Seaview, Family Suite, Family Premier Suite dan Presidential Suite.
Ia turut dilengkapi dengan tempat tidur premium, kelengkapan bilik mandi berkualiti tinggi dan dalaman yang elegan selain pengunjung juga boleh menikmati hidangan bertaraf dunia di Birkin Kitchen, merasai kemahiran fine dining di Nalu Fine Dining atau bersantai dengan koktel khas di Blu Bar.
“Terdapat pelbagai lagi kemudahan bertaraf dunia seperti kolam renang luar di tingkat tujuh dengan pemandangan panorama Selat Melaka dan dilengkapi dengan sundeck untuk bersantai.
“Kemudahan lain adalah Tranquility Spa & Wellness Center, sebuah tempat untuk peremajaan dan berehat holistik serta Birkin Kids Club dan taman permainan, sesuai untuk pelancong keluarga dengan anak kecil,” tambahnya.
Terdapat juga pusat kecergasan 24 jam yang serba lengkap, direka untuk gaya hidup aktif dan Traveller’s Gift Shop menawarkan cenderamata yang diinspirasikan secara tempatan dan keperluan pilihan. – MalaysiaGazette