KOTA TINGGI – Kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam longkang di Taman Kota Jaya di sini petang tadi, bimbang adiknya dihanyutkan jauh sehingga ke Sungai Johor.
Abang mangsa, Mohd Shazif Iman Gentor, 28, berkata, ia kerana difahamkan pintu air Sungai Kemang terbuka semasa kejadian.
Menurutnya, seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan longkang berkenaan ternampak kelibat terakhir mangsa, Mohammad Rayyan Alif, 9, dibawa arus deras.
“Lelaki berkenaan sempat melihat adik saya dibawa arus deras sebelum hilang di penghujung saluran longkang.
“Pakcik itu cakap air laju, dia sempat berlari ikut adik yang dibawa arus dan katanya adik ada berpaut pada kayu sebelum hilang di penghujung longkang.
“Saya terus keluar ke longkang namun kelibat adik sudah tiada. Air ketika itu memang deras, saya campak selipar di longkang dalam tempoh 10 minit selipar itu sudah sampai di depan berhampiran Sungai Johor,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di pintu air Sungai Kemang, di sini hari ini.
Mohd Shazif berkata, adiknya gemar bermain di kawasan longkang di taman tersebut walaupun setiap hari dimarahi.
Kali terakhir Mohd Shazif melihat adiknya semasa dia makan tengah hari tadi sebelum keluar bermain.
Mohd Shazif berkata, dia difahamkan hari ini adik bongsunya itu bermain berdua dengan seorang kanak-kanak lain yang jarang bermain bersama.
“Ketika kejadian memang hujan dan selain suka main hujan dia juga suka bermain di kawasan parit dekat perumahan kami tapi biasanya main di kawasan atas sahaja.
“Memang hari-hari sudah marah sebab suka main dekat longkang. Cuma biasanya dia main ramai-ramai hari ini mungkin sebab hujan jadi dia main dengan kawan yang bukan biasa dia main, berdua sahaja.
“Saya difahamkan dia hendak ambil selipar terjatuh jatuh longkang sebelum dia dibawa arus kuat ke parit besar sebelum hanyut,” katanya.
Tambahnya, kawan adiknya itu sempat memberitahu penduduk berhampiran sebelum mereka memaklumkan tentang kejadian menimpa adiknya itu.
“Adik jatuh di kawasan sebelah rumah orang di mana kawannya itu sempat memaklumkan kepada seorang makcik di rumah berhampiran.
“Makcik itu kemudian hantar kanak-kanak itu balik rumah dahulu kerana dia ketakutan sebelum ke rumah saya memaklumkan adik jatuh longkang.
“Biasanya memang dia selalu dia main di parit besar, mancing dengan kawan-kawan, hari ini dia main dekat parit kecil,” ujarnya.- MalaysiaGazette