oppo_2

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan 10 warga Indonesia yang mahu pulang ke kampung menerusi jalan tikus selepas melakukan serbuan di pesisiran pantai Tanjung Kupang, di sini pada tengah malam Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, migran terbabit tidak sempat menaiki bot yang mahu membawa mereka pulang di pantai itu dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah malam.

Menurut beliau, serbuan yang dilakukan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri itu turut menahan empat tekong membabitkan dua tekong darat dan dua tekong laut yang juga warga Indonesia.

“Semua warga Indonesia yang ditahan itu membabitkan 13 lelaki dan tiga wanita berusia antara 21 hingga 39 tahun.

“Hasil siasatan mendapati dua lelaki Indonesia yang berperanan sebagai tekong darat membawa 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) menaiki dua kereta dari rumah transit di Johor Jaya ke Pantai Tanjung Kupang.

“Dua tekong laut yang menanti PATI berkenaan selain dua lagi warga Indonesia yang baru tiba untuk menyusup masuk menerusi jalan tikus di situ, turut ditahan dalam serbuan berkenaan,”in katanya dalamĀ  sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Katanya, semua warga Indonesia itu menggunakan khidmat sindiket berkenaan untuk pulang ke Indonesia menerusi Batam dengan bayaran sebanyak RM2,000 seorang untuk perjalanan keluar, manakala mereka akan dikenakan bayaran RM3,000 seorang untuk masuk ke negara ini secara haram.

PATI berkenaan in ujarnya, turut dikenakan bayaran tambahan RM300 seorang yang dikenakan tekong darat manakala RM150 lagi dibayar kepada tekong laut.

“Menerusi siasatan dibuat juga mendapati sindiket ini menggunakan ejen warga Indonesia di tinggal di sini yang akan menguruskan penghantaran pulang dari rumah transit ke lokasi laluan tikus manakala ejen sindiket berkenaan di Batam akan menguruskan kemasukan PATI Indonesia ke negara ini,” katanya.

Kumarasan berkata, siasatan lanjut mendapati sindiket berkenaan aktif sejak November lalu dengan lima penghantaran dan kemasukan PATI secara haram diuruskan di laluan tikus berkenaan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan laluan tikus di Tanjung Kupang akan lebih sibuk menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri nanti susulan lebih ramai PATI mahu pulang ke kampung halaman untuk berpuasa dan beraya.

Ujarnya, siasatan yang dilakukan mendapati tempoh menaiki bot laju dari laluan tikus di pantai Tanjung Kupang ke Batam hanya mengambil masa satu jam suku berbanding hampir dua jam jika menaiki feri biasa.

“Bagaimanapun polis tidak akan berkompromi isu penyeludupan PATI keluar dan masuk negara ini secara haram apatah lagi mahu menjadikan pesisiran pantai di Gelang Patah di sini sebagai lokasi laluan tikus mereka.

“Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dianggotai warga Indonesia namun siasatan lanjut masih dilakukan jika ada pembabitan rakyat tempatan membantu sindiket berkenaan,” katanya.

Kumarasan menambah, polis berjaya merampas dua bot fiber dan dua kereta yang digunakan bagi mengangkut PATI selain 16 telefon bimbit milik kesemua warga Indonesia yang ditahan.

Kesemua PATI yang ditahan disiasat menerusi Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan direman selama 14 hari sejak Rabu lalu, katanya.

“Empat tekong warga Indonesia yang ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan direman 28 hari sejak Rabu lalu.

“Siasatan juga akan dibuat menerusi Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Kumarasan menunjukkan dua bot yang dirampas digunakan untuk menyeludup PATI, selepas sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, hari ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here