JOHOR BAHRU – Geng Kamal Bigo yang aktif mencuri motostikal dan lori tumpas selepas polis menahan tiga lelaki tempatan dalam Op Lejang Khas, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejayaan tangkapan semua suspek tersebut selepas satu laporan kehilangan sebuah motosikal yang dicuri di tempat letak motosikal berhampiran Jalan Lingkaran Dalam di sini, Rabu lalu.
“Susulan itu pada 23 Januari lalu, sepasukan pegawai dan anggota dari cawangan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) membuat empat siri serbuan di lokasi berasingan sekitar Bandar Penawar, Kota Tinggi dan bandar raya ini.
“Dalam serbuan itu, tiga lelaki berumur 32 hingga 41 tahun ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di IPD JBS di Larkin di sini semalam.
Katanya, turut dirampas sebuah motosikal Honda 150R serta lori menggunakan nombor pendaftaran palsu dan motosikal Yamaha FZ 150i yang kedua-duanya dilaporkan hilang selain kunci dan baju.
Modus operandi kumpulan itu katanya, adalah mencuri motosikal dan lori di sekitar bandar raya ini dan menjual semula kepada pihak ketiga dengan harga yang lebih rendah.
“Soal siasat sedang dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan suspek dalam kes jenayah lain,” katanya lagi.
Menurut Raub, semakan lampau mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau kes berkaitan jenayah dan dadah serta positif dadah jenis amphetamine.
Tambahnya, kes disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette