KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga kor Ming tidak mempunyai locus standi (perintah tetap) untuk mengubah atau mengganggu peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) tanpa merujuk kepada keperluan undang-undang atau konteks tempatan yang sah.
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, PBT mempunyai kuasa untuk memastikan setiap keputusan relevan dan responsif kepada komuniti setempat selaras Akta 171.
Berhubung larangan jualan arak di kawasan majoriti Muslim, ia bertujuan untuk memastikan orang Islam tidak terdedah kepada perkara yang bertentangan dengan ajaran agama.
“Ini sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan yang dipelihara dalam Perlembagaan Malaysia.
“Tambahan pula, jika peraturan ini tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat bukan Muslim, mengapa perlu ada kebimbangan untuk mencampuri urusan ini?” soal beliau dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Tarmizi berkata, keutamaan Kor Ming sebagai seorang Menteri adalah memberikan fokus utamanya kepada isu-isu yang lebih mendesak seperti pembangunan infrastruktur di kawasan PBT, khususnya di luar bandar.
Masalah seperti pengurusan sisa yang tidak cekap, jalan raya yang berlubang, perparitan yang lemah, dan kekurangan kemudahan asas adalah isu yang lebih memerlukan perhatian.
Tambah beliau, campur tangan dalam isu jualan arak hanyalah membuang masa dan tidak relevan dengan tugas utama beliau seorang menteri KPKT.
“Persoalan yang timbul…Mengapa YB Menteri memilih untuk memberi perhatian kepada isu yang melibatkan sensitiviti agama Islam, sedangkan tugas hakiki beliau adalah untuk membangunkan kawasan PBT?
“Apakah ia mencerminkan lagi bahawa Kerajaan Persekutuan hari ini terus dilanda kegagalan memberi keutamaan isu rakyat apabila Menteri seperti ini terus berada dalam kabinet kerajaan,” ujarnya.
Katanya lagi, pemimpin yang baik adalah mereka yang memberikan tumpuan kepada penyelesaian isu-isu kritikal yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“Saya menggesa YB Menteri untuk menilai semula keutamaan beliau dan mengalihkan fokus kepada isu pembangunan infrastruktur dan keperluan asas yang lebih kritikal.
“Hormatilah sensitiviti agama dan budaya masyarakat setempat serta autonomi PBT dalam membuat keputusan.
“Tindakan ini bukan sahaja akan mengembalikan kepercayaan rakyat tetapi, juga memastikan keharmonian dan kesejahteraan semua pihak terpelihara,” kata beliau. – MalaysiaGazette