Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Segamat semalam menahan seorang individu kerana kesalahan memberi rasuah.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 30 tahun tersebut telah ditahan SPRM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat kira-kira pukul 3 petang.

Difahamkan, suspek telah ditahan anggota polis ketika pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dinaiki oleh suspek bersama empat rakan lain.

Hasil semakan kad pengenalan kesemua individu mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah.

Pemeriksaan lanjut dibuat ke atas tubuh badan dan kenderaan yang dinaiki menjumpai pelbagai jenis dadah dan alatan yang disyaki untuk jenayah pecah rumah.

Semasa proses tangkapan, suspek telah menyogok anggota polis dan memberikan wang rasuah sebanyak RM18,500 dan meminta untuk tidak ditangkap.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast