KLANG – Pelanggan tidak ramai sehingga jualan dicatatkan kurang 30 peratus, namun tidak mematahkan semangat seorang warga emas yang berniaga bunga di Pasar Pagi Taman Eng Ann untuk meneruskan jualannya sebelum Tahun Baharu Cina.
Lim Theam Teng, berusia lebih 50 tahun, maklum dalam keadaan ekonomi tidak menentu, ramai yang memilih untuk tidak berbelanja secara berlebihan demi memastikan keperluan masa depan tidak terjejas.
“Tahun ini memang perniagaan pun agak mundur sikit orang pun buat persiapan ala kadar. Ada masa perniagaan macam tidak bergerak. Kalau ikut jualan kurang 30 peratus daripada tahun lalu.
“Kita kena rajin usaha juga macam mana sekalipun,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau yang telah berniaga lebih 10 tahun di pasar tersebut sempat memberi nasihat kepada masyarakat supaya mengutamakan keperluan terlebih dahulu.
Meskipun mempunyai perniagaan sendiri, Lim berkata beliau mengamalkan cara menyenaraikan keperluan yang hendak di beli pada setiap tahun sebelum meraikan Tahun Baru Cina.
“Setiap tahun sebelum sambut Tahun Baru Cina, kena senaraikan keperluan, berapa perbelanjaan dan tinggal berapa. Kena ada simpanan 30 peratus dalam tangan (wang) untuk kecemasan. Kalau tidak apa-apa susah,” katanya memberi nasihat.
Begitu juga dengan peniaga agar-agar 3D, Lim Lee Yeen, 37.
Beliau berpendapat bahawa faktor ekonomi punca kebanyakan perniagaan tahun ini kelihatan perlahan.
Tambahan pula katanya, ramai yang memilih untuk tidak keluar berbelanja secara fizikal pada masa kini akibat cuaca yang tidak menentu.
“Tahun ini mungkin orang kurang sikit sebab cuaca hujan. Saya pun rasai pelanggan kurang kali ini. Tahun ni pun cuaca tidak menentu kan. Ada juga faktor ekonomi menyumbang sebab sekarang orang nak berjimat dalam berbelanjakan. Macam saya sendiri, berniaga bawa anak-anak saya tolong saya,” katanya.
namun Lim berkata beliau beruntung kerana anak-anaknya kini sudah bekerja dan boleh membantunya berniaga dan menjana pendapatan keluarga.
Sementara itu, seorang pengguna Mak Lai Jing, 50 tahun pula berpendirian untuk tidak ‘mengikat perut’ hanya untuk bulan sambutan Tahun Baru Cina.
Katanya ini kerana perayaan itu hanya disambut sekali setahun sahaja.
“Tahun ini banyak belanja sikit, sebab setahun sekali kan. Kepercayaan orang tua (kaum Cina) pun tahun ini lebih baik belanja lebih. Tahun yang baik, itu yang orang-orang tua kami cakap.
“Saya fikir perayaan ini untuk budaya dan kaum Cina juga tidak salah berbelanja lebih sedikit untuk setahun sekali,” kata anak jati Klang itu.-MalaysiaGazette