Gambar hiasan

Sambutan perayaan dalam kalangan masyarakat Malaysia dari pelbagai agama, etnik dan budaya adalah disifatkan sebagai satu upacara yang unik dan ia merupakan asas kepada integrasi nasional dalam mewujudkan hubungan yang harmoni dalam kalangan masyarakat pelbilang kaum.

Di Malaysia, sambutan perayaan merupakan upacara tahunan yang menjadi amalan dan budaya dalam kalangan masyarakat Malaysia untuk meraikan kemeriahan dan keunikan sesebuah perayaan yang bersifat silang budaya. Ia merupakan asas kepada keharmonian yang dapat menyatukan rakyat untuk hidup dengan penuh kemanan, sejahtera dan hormat menghormati di antara pelbagai agama.

Sambutan Tahun Baru Cina atau Chinese New Year (CNY) yang bakal disambut dalam kalangan masyarakat Cina dari seluruh dunia merupakan satu perayaan yang juga dikenali sebagai Festival Musim Bunga di China.

Tahun Baru Cina yang disambut dalam kalangan masyarakat Cina merupakan simbolik kepada titik permulaan nasib dan kehidupan seseorang pada setiap tahun. Sambutan Tahun Baru Cina adalah perayaan untuk menyambut tahun baru bagi masyarakat Cina mengikut kalendar lunar Cina yang diwakili dengan satu zodiak haiwan.

Kelazimannya, masyarakat di Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum akan mengucapkan “Gong Xi Fa Cai” atau “Kong Hee Fatt Choy” yang bermaksud “semoga tahun ini akan membawa kebaikan”.

Ucapan ini merupakan sinonim kepada pelbagai ucapan lain dalam setiap perayaan di Malaysia sebagai tanda berkongsi kegembiraan dan menghormati perayaan yang disambut.

Selain itu, program rumah terbuka merupakan acara sambutan perayaan yang sering dilakukan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia sebagai meraikan jiran tetangga, rakan sekerja dan saudara mara.

Konsep rumah terbuka dalam setiap perayaan di Malaysia ini adalah berobjektif untuk menzahirkan sikap saling menghormati jiran dan rakan sekerja, serta menonjolkan sikap toleransi yang perlu dilakukan oleh pemerintah Islam terhadap hak bukan Islam dalam meraikan kepelbagaian perayaan.

Penyediaan makanan dalam upacara rumah terbuka pula perlulah berstatus halal dan juga dapat dinikmati oleh golongan bukan Islam.

Isu sambutan perayaan yang turut diraikan oleh orang Islam iaitu dengan memberi ucapan selamat “Gong Xi Fa Cai” telah menimbulkan pelbagai pandangan dalam kalangan umat Islam berkaitan hukum memberi ucapan dan menziarahi rumah kaum Cina untuk sama-sama menyambut Tahun Baru Cina.

Wujud perselisihan pandangan dan salah faham dalam memahami perayaan yang berasaskan keagamaan atau adat sesebuah kaum. Perlu difahami bahawa sambutan perayaan Tahun Baru Cina merupakan salah satu perayaan adat kaum Cina yang tidak mempunyai kaitan dengan permasalahan akidah dan amalan keagamaan.

Pengharaman terhadap perayaan pelbagai kaum bukan Islam hanya termaktub apabila ritual keagamaan yang merangkumi aspek akidah agama tersebut ada terdapat dalam ritual perayaan tersebut.

Sambutan perayaan Tahun Baru Cina merupakan salah satu uruf majmuk yang disambut oleh seluruh masyarakat di Malaysia sebagai simbolik semangat muhibbah sambutan sesebuah perayaan.

Justeru, ucapan Selamat Tahun Baru atau “Gong Xi Fa Cai” yang ditujukan kepada kaum Cina merupakan satu ucapan yang mempunyai maksud yang baik dan melambangkan perpaduan yang wujud dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Ia juga merupakan satu perayaan adat yang tidak bercanggah dengan hukum Islam untuk disambut bersama dalam kalangan jiran tetangga, sahabat dan ahli keluarga yang berketurunan Cina.

Justeru, Islam menggalakkan umatnya untuk meraikan sikap toleransi dan bersikap lebih terbuka terhadap kaum bukan Islam tanpa menggadaikan prinsip-prinsip Islam.

Oleh,

Dr Ariyanti Mustapha ([email protected])

Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul,

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here