WASHINGTON- Presiden Donald Trump menandatangani perintah eksekutif bagi menghalang prosedur menukar jantina bagi individu di bawah umur 19 tahun.
Perintah yang ditandatangani pada Selasa, merupakan langkah terbaharunya yang menyasarkan golongan transgender sejak kembali memegang jawatan.
Larangan itu dikeluarkan seminggu selepas Trump dalam ucapan pelantikannya menyatakan, pemerintahan beliau hanya akan mengiktiraf dua jantina iaitu lelaki dan perempuan, selaras dengan isu yang menjadi tumpuan dalam perang budaya di Amerika.
“Di seluruh negara hari ini, para profesional perubatan sedang mencacatkan dan mensterilkan semakin ramai kanak-kanak yang mudah terpengaruh.
“Trend berbahaya ini akan menjadi titik hitam dalam sejarah negara kita dan ia mesti dihentikan,” kata perintah tersebut.
Perintah Trump menyatakan bahawa dasar Amerika Syarikat kini adalah untuk “tidak membiayai, menaja, mempromosikan, membantu, atau menyokong apa yang disebut sebagai ‘peralihan’ seorang kanak-kanak daripada satu jantina ke jantina lain.”
Ini termasuk apa yang disebutnya sebagai “pengebirian kimia dan pembedahan” termasuk pemberian penyekat akil baligh, hormon dan pembedahan yang mengubah jantina.
Perintah itu juga menyatakan bahawa kerajaan akan “menguatkuasakan dengan ketat semua undang-undang yang melarang atau mengehadkan prosedur yang merosakkan dan mengubah hidup ini.”
“Negara kita tidak lagi akan membiayai, menaja, mempromosikan, membantu, atau menyokong apa yang disebut sebagai ‘rawatan pengesahan jantina,’ yang telah menghancurkan terlalu banyak nyawa berharga,” kata Trump kemudian dalam hantaran di platform Truth Social miliknya.
Walaupun tiada undang-undang peringkat nasional di AS yang melarang rawatan perubatan pengesahan jantina bagi golongan transgender muda, Trump telah mengarahkan penamatan sebarang sokongan persekutuan terhadap prosedur tersebut.
Ini termasuk larangan pembiayaan untuk mengubah jantina di bawah skim insurans kesihatan Medicaid untuk keluarga berpendapatan rendah, program Medicare yang digunakan oleh pesara, serta insurans kesihatan Jabatan Pertahanan AS yang meliputi kira-kira 2 juta kanak-kanak.
Trump juga berkata beliau akan bekerjasama dengan Kongres untuk merangka undang-undang yang membolehkan kanak-kanak dan ibu bapa menyaman doktor yang menjalankan pembedahan jantina.
Dalam forum Davos minggu lalu, Trump menyatakan bahawa pembedahan jantina “bakal sangat jarang berlaku” di bawah pentadbirannya.
Dua puluh empat negeri yang dipimpin oleh Parti Republikan telah pun menggubal undang-undang yang mengehadkan rawatan perubatan untuk peralihan jantina bagi golongan bawah umur.
Hakim-hakim Mahkamah Agung AS bertelagah mengenai isu ini pada bulan Disember ketika mereka membahaskan undang-undang Tennessee yang melarang penggunaan penyekat akil baligh atau terapi hormon bagi individu di bawah 18 tahun.- AFP