KUALA LUMPUR – Kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz terhadap usaha Kerajaan Malaysia membantu membangunkan semula Gaza adalah tidak wajar dan melampau.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, penglibatan negara ini membantu Palestin bukan baru, sebaliknya sudah dilakukan sejak pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi.
“Ini bukan soal kera di hutan disusui, anak dikendong mati kelaparan. Usaha Malaysia ini bukan baru. Ia sudah berjalan sejak zaman Tun M dan Pak Lah. Rafidah tahu kerana dia menteri ketika itu,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Puad yang mempertikaikan kenyataan Rafidah berkata, adakah dengan membantu Palestin ketika itu pembangunan dalam negara dianaktirikan.
Tegasnya, lapan dekad Palestin dizalimi hingga menyebabkan sekolah, hospital dan masjid dibangun dan diruntuh berulang kali oleh regim zionis.
“Maka apakah kali ini kita akan kata, lantak kamulah Palestin!
“Apabila Aceh dibadai tsunami semua negara kecil-besar, miskin-kaya termasuk Malaysia datang memberi bantuan. Itu namanya kemanusiaan. Kerajaan boleh sahaja minta korporat dan NGO turut bekerjasama.
“Rafidah kata nak membangunkan Gaza bagaimana? Status tanah pun masih ada pertikaian. Kenapa naif? Tidakkah bumi Palestin diceroboh dan dirampas oleh zionis Israel?,” ujarnya.
Rafidah dalam kenyataannya yang dilaporkan menyarankan kerajaan agar memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu dalam negara terlebih dahulu sebelum menyatakan komitmen untuk membangunkan semula Gaza.
Beliau berkata, walaupun usaha Kerajaan Malaysia itu wajar dipuji, tetapi terdapat isu mendesak dalam negara yang perlu diselesaikan.
Antaranya, keadaan di sekolah-sekolah luar bandar yang menyedihkan, selain dengan kekurangan di hospital kerajaan luar bandar serta tempat ibadah.
Selain itu, Rafidah berkata golongan pesara, terutamanya mereka yang menerima pencen bulanan tetapi berada di bawah garis kemiskinan, perlu diberikan perhatian.
Lantaran itu, beliau menegaskan pemimpin negara ini mesti mengutamakan keperluan rakyat terlebih dahulu
“Adalah terpuji untuk membantu dunia, tetapi pastinya bukan kerana kepentingan politik. Terlalu banyak yang perlu diselesaikan dan dilakukan di negara kita,” tambah Rafidah. – MalaysiaGazette