Logo Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)

KUALA LUMPUR – Taman Tema I-City didakwa masih meneruskan operasi gelongsor air kaca walaupun Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah mengeluarkan amaran dan kompaun.

MBSA berkata, sebanyak enam notis amaran dan satu lagi notis kompaun tahun lalu hingga 23 Januari 2025.

Ia termasuk notis amaran bertarikh 14 November 2024 untuk menghentikan segala kerja
pendirian bangunan dan struktur yang tidak mendapat kelulusan bertulis seperti
yang terkandung dalam Seksyen 72 (1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974
(Akta 133).

Selain itu, Notis Borang F di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang dikeluarkan pada 22 November 2024 agar mengemukakan permohonan kebenaran merancang berhubung pemajuan yang telah dijalankan tanpa kebenaran merancang.

Pada tarikh yang sama juga, MBSA telah mengeluarkan Notis Borang G di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) untuk mengarahkan penghentian segera semua aktiviti pemajuan yang dijalankan tanpa kebenaran merancang.

Taman tema berkenaan turut diberikan Notis Borang H di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) pada 23 Januari 2025, untuk mengarahkan
pemulihan semula tanah kepada keadaan asal selepas pihak terlibat gagal
memohon atau memperoleh kebenaran merancang.

Menurutnya, notis amaran dan kompaun itu dikeluarkan kerana setiap projek pembangunan dan operasi taman tema di Shah Alam perlu mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Ini termasuk keperluan untuk mendapatkan kelulusan bertulis daripada MBSA sebelum sebarang aktiviti atau pembinaan dijalankan.

MBSA telah mengambil langkah tegas dengan menutup tapak projek dan menggantung segala aktiviti di lokasi berkenaan bagi memastikan tiada kerja diteruskan sehingga mendapatkan kelulusan rasmi daripada pihaknya.

“Sebagai respons kepada kegagalan ini, satu notis amaran dikeluarkan pada 19 Januari untuk menghentikan segera aktiviti hiburan (Glass Water Slide) di bawah Enakmen Hiburan dan Tempattempat Hiburan Negeri Selangor 1995 Pindaan 2001 Seksyen 6 (1)(a),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam kenyataan tersebut, MBSA turut melahirkan rasa kesal kerana pihak pengurusan
taman tema terkenal itu gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan.

“Walaupun notis telah dikeluarkan, pemantauan semula mendapati pengurusan taman tema berkenaan masih meneruskan aktiviti hiburan tersebut tanpa kelulusan bertulis dan ingkar terhadap arahan yang dikeluarkan.

“Oleh itu, pada 30 Januari 2025, MBSA telah mengeluarkan Notis Kompaun Engkar Arahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) Seksyen 121 atas kegagalan pihak pengurusan mematuhi kehendak notis yang telah diberikan.

“MBSA ingin menegaskan keselamatan awam adalah keutamaan utama kami, dan kami komited untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang ketat,” ujarnya.

Pihak berkuasa tempatan ini berkata, taman tema itu akan terus dipantau dengan lebih teliti dan tindakan tegas akan diambil  terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam sentiasa terjamin.

Rabu lalu, seorang pengunjung cedera selepas pelampung permainan gelongsor air kaca Sky City di taman tema itu dipercayai terjatuh dari penyangkut lalu menimpanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan sudah dibuat selepas menerima laporan yang dibuat pada jam 1 pagi tadi susulan video tular di media sosial.

Katanya, mangsa telah menerima rawatan di salah sebuah poliklinik di Ken Rimba, Seksyen 16, Shah Alam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here