SHAH ALAM – Polis Selangor menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menahan dua lelaki tempatan sebagai keldai dadah pada 22 Januari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua suspek ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dan berjaya merampas 30.3 kilogram (kg) dadah yang dipercayai digunakan sindiket untuk pasaran di Miri, Sarawak.
Beliau berkata, dadah tersebut diletakkan dalam dua bagasi yang dirampas mengandungi 30 bungkusan plastik berisi bahan disyaki dadah jenis syabu bernilai RM967,000.
“Siasatan awal mendapati suspek berasal dari Sarawak itu pertama kali datang ke Semenanjung dan dibayar RM600 sekilogram untuk dadah yang dibawa.
“Suspek telah dibawa oleh sindiket ke sebuah apartment di Kota Warisan, Sepang selama empat hari sebelum diberikan bagasi berisi dadah.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek berusia 25 dan 18 tahun masing-masing memiliki empat dan satu rekod lampau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Britain berusia 36 tahun ditangkap oleh sepasukan Polis Bantuan KLIA Terminal 1, pada 24 Januari lalu dengan rampasan 31 kg dadah jenis ganja bernilai RM96,000 yang disorokkan dalam dua beg bagasinya.
Hussein memberitahu, suspek merupakan pengawal keselamatan di syarikat luar negara dipercayai tiba dari London pada 16 Januari lalu.
“Bekalan ganja itu dipercayai diperoleh dari dalam negara untuk pasaran luar negara,” katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette