Wednesday, September 2, 2026
Home Nasional AKPS tak bertindih tugas dengan agensi sedia ada – Saifuddin

AKPS tak bertindih tugas dengan agensi sedia ada – Saifuddin

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua, kanan), Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman (kiri) dan Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Hazani Ghazali (dua kanan), ketika perasmian semasa Majlis Peluncuran Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia, di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, Sepang. Foto HARI ANGGARA, 02 FEBUARI 2025.

SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan bekerjasama dengan agensi lain sedia ada dalam menjaga keselamatan sempadan laut, udara dan darat di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan fungsi utama setiap agensi dikekalkan tanpa berlaku pertindihan tugas antaranya seperti Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Sebagai contoh, APMM bertanggungjawab ke atas kawasan maritim seluas 590,000 km termasuk menangani isu penyeludupan, perikanan haram dan keselamatan laut manakala AKPS pula akan memantau pergerakan keluar masuk di pintu sempadan negara.

“Konsep ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana sebelum ini, model yang sama telah berjaya dilaksanakan dalam penubuhan ESSCOM (Eastern Sabah Security Command)  serta APMM yang berasal daripada gabungan pelbagai agensi penguatkuasaan maritim,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas menghadiri majlis peluncuran AKPS di Anjung Tinjau, KLIA 1 hari ini.

Majilis pelancaran dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah kiri) membuat lawatan ke Gate Kod QR MyBorderPass ketika hadir pada Majlis Peluncuran Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia, di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, Sepang. Foto HARI ANGGARA, 02 FEBUARI 2025.

Untuk rekod, AKPS ditubuhkan secara rasmi selepas pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860) pada 17 Oktober 2024 dan diterajui oleh Datuk Seri Hazani Ghazali sebagai Ketua Pengarahnya yang pertama.

Selain APMM, antara yang diserap ke dalam AKPS adalah pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu, AKPS akan diperluaskan di beberapa pintu utama udara sempadan negara selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) iaitu di Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.

Beliau berkata, kementeriannya akan mengumpulkan data sedia ada yang diperoleh daripada operasi 19 pintu masuk awal di bawah AKPS sebelum pelaksanaan ke fasa seterusnya.

Setakat ini, beliau berkata, kementerian telah mengenal pasti 141 pintu masuk utama yang merangkumi sempadan darat, lapangan terbang antarabangsa dan pelabuhan.

“Bagi fasa awal operasi, KPS akan berfungsi di 19 pintu masuk utama daripada jumlah keseluruhan 141 pintu masuk rasmi negara.

“Keutamaan diberikan kepada lapangan terbang antarabangsa yang mempunyai trafik tinggi seperti KLIA, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, dan Kuching. Data yang dikumpulkan dari fasa pertama ini akan menentukan langkah seterusnya dalam pengembangan operasi AKPS,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast