BUTTERWORTH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang melumpuhkan satu sindiket penyelewengan diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris 3.0 di sebuah premis di Sungai Lokan di sini hari ini.
Serbuan kira-kira pukul 2 petang di premis yang dijadikan sebagai stor haram untuk menyimpan dan memindahkan minyak diesel bersubsidi turut membawa kepada tangkapan empat lelaki tempatan.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, serbuan itu adalah hasil risikan pihaknya selama dua bulan lalu.
Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket tersebut menggunakan lori diubah suai untuk mengambil minyak diesel daripada beberapa stesen minyak sekitar kawasan berhampiran sebelum pindahkan ke stor haram untuk dijual di pasaran gelap.
“Dalam serbuan itu, pasukan penguat kuasa menemui 27,000 liter minyak diesel bersubsidi bersama beberapa peralatan seperti tangki Intermediate Bulk Containers (IBC), paip penyambung, sebuah lori serta pacuan empat roda jenama Mitsubishi Triton
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM260,860 dan ini merupakan rampasan diesel terbesar untuk kita bagi tahun ini.
“Selain itu, semakan lanjut juga mendapati premis sama pernah diserbu tahun lalu dan ketika itu rampasan berjumlah 50,000 liter diesel.. jadi kita sedang siasat sama ada pengusahanya sama yang melakukan kegiatan ini atau sebaliknya,” katanya hari ini.
Tambah Jegan, kesemua suspek ditahan terdiri daripada tiga pemandu lori dan seorang penjaga stor.
“Masing-masing mengaku hari ini merupakan hari pertama mereka bekerja jadi kita tahan untuk bagi membantu siasatan lanjut.
“Kita juga sedang menyiasat penglibatan individu atau syarikat dalam aktiviti ini termasuk mengenal pasti sumber dan rangkaian pengedaran minyak diesel tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette