KUALA LUMPUR- Seorang pembantu kedai makan direman sehingga lusa bagi membantu siasatan penemuan bayi perempuan di sebuah kedai makan di Sanglang, Perlis, 19 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, wanita berusia 29 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Simpang Empat, Kangar, jam 2.55 pagi semalam.
Katanya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sekeping kad SIM, gunting, cadar serta sampel uri yang sudah pun dibakar oleh suspek.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, wanita berkenaan mengaku melakukan kesalahan tersebut.
“Wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu tinggal bersama empat anaknya yang masih kecil manakala suaminya berada dalam tahanan di sebuah Pusat Tahanan Serenti.
“Menurut suspek, dia melahirkan seorang bayi perempuan tanpa ditemani atau bantuan sesiapa dalam tandas sebuah rumah di Jalan Tok Pulau, Kampung Permatang Kersek di Simpang Empat pada 18 Januari sekitar jam 6.30 petang.
“Kira-kira 10 jam kemudian, suspek pergi ke sebuah kedai makan di Kampung Rama, Sanglang dengan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kuning milik rakannya dan meninggalkan bayi yang baharu dilahirkannya di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yusharifuddin berkata, bayi dalam keadaan sihat serta masih dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dan berada di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.- MalaysiaGazette