MELAKA – Pertubuhan Pekedai-pekedai Heritage Jonker Walk mahu idea membawa konsep pasar malam itu ke Jalan Hang Tuah atau Jonker Walk 2.0 ditangguhkan susulan masih banyak penambahbaikan perlu dilakukan di lokasi asalnya.
Pengerusinya, Sam Chua berkata, walaupun Jonker Walk di Jalan Hang Jebat sudah berusia 25 tahun, masih ada kemudahan termasuklah tandas di situ yang boleh ditambah baik berbanding membawa konsep sama ke tempat baharu.
“Dengar (cadangan Jonker Walk 2.0) memang kita rasa gembira tapi kita tahu pengalaman kita kukuh atau tidak sebelum fikirkan (buka lokasi) yang kedua.
“Jonker Walk sedia ada harus dipertingkatkan dulu kemudahannya seperti tandas dan beberapa lagi untuk pelancong yang saya rasa ia belum cukup (baik) lagi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pejabatnya di sini hari ini.
Peniaga barangan antik dan cenderahati sejak hampir 30 tahun lalu itu berkata, seramai 109 peniaga dalam bangunan di situ juga kini masih bertarung untuk memulihkan perniagaan mereka yang terjejas selepas pandemik Covid-19, lima tahun lalu.
“MCO (Perintah Kawalan Pergerakan) telah mengakibatkan perniagaan di sini ketinggalan lima hingga 10 tahun menyebabkan antara 30 dan 40 peratus pekedai sudah gulung tikar.
“Jadi peniaga yang baru ambil alih berdepan cabaran untuk memastikan perniagaan mereka mendapat pulangan setimpal supaya lokasi ini terus menjadi tumpuan pelancong dari serata dunia,”katanya.
Tambah Chua, sebarang cadangan untuk membuka pasar malam sama berkonsepkan Jonker Walk 2.0 memerlukan perancangan teliti dan bukannya dilakukan secara semberono.
“Kesimpulannya, cadangan Jonker Walk 2.0 perlu perancangan yang mendalam dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa untuk buka tempat kedua,” katanya.
Artikel berkaitan:DAP cadang wujudkan Jonker Walk 2.0 di Jalan Hang Tuah
Jonker Walk 2.0 di Jalan Hang Tuah perlu kajian lanjut – Exco
Jonker Walk 2.0: DAP jangan ganggu Jalan Hang Tuah – Dr Yadzil
Jonker Walk 2.0: ADUN Kota Melaka tidak hormat budaya, sejarah negara
Majukan identiti Hang Tuah Mall, tak perlu bawa konsep Jonker Walk – Peniaga
Cukup-cukuplah pembangkang ‘panaskan’ isu Jonker Walk – Rais
DAP Melaka tetap teruskan cadangan Jonker Walk 2.0
Satu Jonker Walk sudah memadai – Exco Pelancongan Melaka
Jonker Walk 2.0: DAP jangan lebih sudu dari kuah – Bakri
Helmy janji isu Jonker Walk 2.0 di Melaka takkan jadi seperti dikhuatiri
Isytihar ‘perang’ jika wujudkan Jonker Walk 2.0 – Dr Aleef
Kontroversi Jonker Walk 2.0 timbul 25 Januari lalu apabila DAP mencadangkan Jalan Hang Tuah di sini dijenamakan semula menjadi pusat tarikan pelancong berkonsepkan Jonker Walk sehingga ia berjaya mendapat sambutan pelancong khususnya ketika sambutan Tahun Baharu Cina.
Idea spontan Setiausaha Organisasinya Low Chee Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana itu bagaimanapun mencetuskan pelbagai kontroversi dalam kalangan pemimpin kerajaan dan pembangkang selain dibantah masyarakat setempat.
Untuk rekod, pasar malam pelancong Jonker Walk yang dibuka pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad di Jalan Hang Jebat sejak 25 tahun lalu dengan majoriti adalah peniaga Cina sehingga ia mendapat jolokan China Town. – MalaysiaGazette