KUALA LUMPUR – Tiada kesan tumpahan minyak di Sungai Bernam susulan kejadian lori terbabas di lokasi berkenaan.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, semakan mendapati aliran air sungai di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisik adalah normal.
“LUAS seterusnya telah membuat pemerhatian lanjut di lokasi berkenaan dan kawasan sekitarnya dan mendapati tiada lagi kesan minyak dan bau abnormal dikesan,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, pasukannya akan terus melaksanakan pemantauan di lokasi hulu daripada muka sauk LRA Bernam River Headworks (BRH) bagi memastikan tiada baki kesan minyak terlepas.
“Dan siap siaga bagi tindakan pencegahan dan mitigasi segera. Keadaan semasa adalah terkawal dan LUAS berada di lapangan memantau rapi sebarang risiko,” tambahnya.
Katanya, sehingga kini kerja pembaikan tebing sungai akibat kemalangan yang berlaku petang semalam giat dijalankan.
Sebagai rekod, pada jam 1 petang semalam dilaporkan sebuah lori terlibat kemalangan di Sungai Bernam, Kampung Serigala, Behrang.
Sejurus selepas itu, LUAS telah mengaktifkan Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk tindakan siasatan menyeluruh serta pencegahan/mitigasi segera.
Ini kerana insiden berkenaan berpotensi memberi kesan kepada LRA Sg. Selisek pada jarak 3.2 km dan LRA BRH pada jarak 31.5 km.
Semakan LUAS semalam mendapati kemalangan itu telah menyebabkan tumpahan minyak daripada lori yang terbabit sepanjang 100 meter aliran ke dalam Sungai Bernam. -MalaysiaGazette