Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan persediaan bagi kurikulum persekolahan 2027 jadi tumpuan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tahun ini.

Program Generasi Madani (GenMadani) pula dilaksanakan di sekolah-sekolah sebagai wadah untuk memupuk perpaduan serta membina karakter bangsa Malaysia yang beradab, berakhlak dan berintegriti.

KPM berkata, ia sentiasa proaktif meningkatkan infrastruktur pendidikan bagi memastikan akses pendidikan yang berkualiti kepada semua murid.

Menerusi Belanjawan 2025, Kerajaan Madani meluluskan pembinaan sejumlah 44 buah sekolah, 11 Pusat Permata yang dilengkapi dengan pusat didikan anak-anak autistik serta dua sekolah baharu bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).

Sejumlah RM2 bilion diperuntukkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara merangkumi RM1 bilion untuk menyelenggara semua jenis sekolah termasuk institusi pendidikan KPM.

Manakala, RM1 bilion lagi untuk menaik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Sebanyak RM100 juta turut diperuntukkan untuk membaik pulih kemudahan kantin dan musolla di sekolah.

“KPM akan terus berusaha untuk memastikan titah Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat,” kata KPM yang menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menyentuh Pendidikan negara semasa pembukaan penggal keempat Parlimen hari ini.

KPM menambah, Agenda Reformasi Pendidikan yang direncanakan oleh KPM sedang giat berjalan di setiap peringkat bagi memastikan pendidikan negara kekal relevan serta dapat menangani cabaran semasa dengan tuntas.

Ia memberi penumpuan kepada enam fokus utama iaitu digital, bahasa, literasi, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta prasekolah.

Selaras usaha memperkasakan pendidikan TVET, Kerajaan telah meningkatkan kadar Bantuan Geran Per Kapita (PCG) TVET sebanyak 15 peratus dengan kos keseluruhan berjumlah RM900 juta.

Sejumlah RM1.2 bilion juga diperuntukkan kepada Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik seluruh negara yang menyediakan pendidikan kepada 77,000 orang pelajar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here