KUALA LUMPUR – Pelarasan bermusim Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia meningkat kepada 48.7 pada Januari 2025, sekali gus memaparkan penyederhanaan perlahan dan berterusan bagi sektor itu.
S&P Global berkata, angka terkini PMI itu juga menunjukkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyederhana namun kekal pada kadar positif selain menunjukkan peningkatan berterusan data rasmi pengeluaran pembuatan.
“Tahap pengeluaran yang suram dalam bulan tinjauan bulan terkini itu dengan indeks pelarasan bermusim berkaitan masing-masing kekal di bawah paras neutral 50.0.
“Pengeluaran juga berkurangan selama lapan bulan berturut-turut dengan penyederhanaan terkini paling ketara sejak Disember 2023,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengikut S&P Global, penurunan itu didorong oleh aliran masuk pesanan baharu yang kurang memberangsangkan walaupun segelintir firma mengetengahkan faktor peningkatan harga input serta penangguhan penghantaran.
Bagi kemajuan masa depan, firma itu menyifatkan sentimen dalam sektor pembuatan Malaysia adalah positif ketika memulakan 2025 dengan harapan keadaan permintaan lebih baik dipacu oleh unjuran pertumbuhan output bagi tahun mendatang.
Ahli Ekonomi Risikan Pasaran S&P Global Usamah Bhatti berkata, sebagai tindak balas terhadap keadaan permintaan semasa, firma pembuatan lebih cenderung menurunkan harga jualan masing-masing yang menjadi sebahagian daripada usaha bagi merangsang jualan.
Beliau berkata, penurunan itu adalah yang pertama dicatatkan sejak Jun 2023 dan biarpun menyederhana, ia masih di tahap paling kukuh sejak sedekad lepas.
“Sentimen kekal positif dengan firma-firma menjangkakan peningkatan output dalam tahun mendatang.
“Tahap keyakinan itu kekal utuh walaupun berlakunya penyusutan ke paras terendah dalam tempoh tujuh bulan di tengah-tengah harapan untuk menyaksikan permintaan terus meningkat,” katanya. – BERNAMA