KUALA LUMPUR – Prosiding pemeriksaan balas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy di Mahkamah Tinggi bersambung pada 27 Febuari ini.
Prosiding disambung selepas pemeriksaan balas di Mahkamah Tinggi hari ini oleh peguam 1MDB, Datuk Lim Chee Wee tidak selesai sehingga petang tadi.
Terdahulu pemeriksaan soal balas yang bermula sekitar 2.30 petang tadi berkisar tentang laporan media tempatan dan luar negara berkenaan syarikat itu dan pendakwaan yang dibuat.
Beliau sekali lagi mengesahkan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap laporan negatif berhubung keadaan hal ehwal syarikat itu seperti yang dilaporkan.
Arul dan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah kini sedang berdepan kes saman 1MDB bernilai AS$6.59 bilion.
Sebagai rekod pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap Mohd Irwan serta Arul Kanda apabila mereka dituduh melakukan pecah amanah dan konspirasi yang mengakibatkan kerugian AS$1.83 bilion berkaitan pelaburan syarikat dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang kemudian ditukar menjadi pelaburan Brazen Sky Limited yang dikatakan boleh diperoleh semula daripada Dana Global Bridge.
1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyalahgunakan dana syarikat bernilai AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion yang dibayar kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa pada 9 Mei 2017.
1MDB mendakwa Mohd Irwan bersubahat dengan Arul Kanda untuk melaksanakan satu lanjutan perjanjian pekerjaan, membayar sejumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda tanpa mengambil kira kepentingan 1MDB yang mengakibatkan kerugian dan kerosakan kepada syarikat itu.
Akibatnya, 1MDB menuntut ganti rugi US$6.59 bilion daripada kedua-dua defendan untuk pelanggaran dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan pelanjutan perjanjian pekerjaan.- MalaysiaGazette