ISKANDAR PUTERI – Johor Datuk Ta’zim (JDT) terus beraksi cemerlang apabila meraih tiga mata berharga selepas menewaskan PDRM FC 4-0, di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.
Perkembangan tersebut menyaksikan JDT kian hampir untuk mempertahankan trofi Liga Super buat kali ke-11.
Kenenangan itu juga menyaksikan JDT kini mengumpul mata 55 mata dan hanya memerlukan satu lagi kemenangan bagi mengekalkan trofi Liga Super di selatan tanahair.
Skuad Harimau Selatan itu mula menunjukkan taringnya apabila membuat asakan bertubi-tubi arus ke gawang pelawat dalam usaha menjaringkan gol pembukaan.
Asakan-asakan berkenaan akhirnya membuahkan hasil apabila lorongan cantik Heberty Fernandes disempurnakan dengan baik oleh penyerang import, Jorge Obregon pada minit ke-13.
Gol berkenaan membakar semangat kesebelasan Harimau Selatan untuk terus mengasak bagi menambah jaringan.
Namun deretan percubaan yang diperolehi gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan lawan.
Pelawat juga sesekali dilihat cuba mencuri peluang dengan melancarkan serangan ke gawang tuan rumah tetapi jentera serangan anak didik P Maniam itu gagal melepasi benteng JDT.
Sebaliknya, hasil satu serangan balas, JDT menambah jaringan pada minit ke-38 menerusi tandukan Corbin-Ong.
Selesa mendahului dua gol di hadapan bagaimanapun tetap menyaksikan jentera serangan JDT terus melancarkan serangan dalam usaha menambah jaringan.
Namun tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dihasilkan dan kedudukan 2-0 memihak tuan rumah kekal hingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, JDT semakin menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan dan kali ini pemain gantian, Jese Rodriguez pada minit ke-54.
Pada minit ke-80, menyaksikan seorang lagi pemain gantian Romel Morales menjaringkan gol keempat buat skuad Harimau Selatan.
Penghujung babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan dan kedudukan kekal hingga ke wisel penamat.- MalaysiaGazette